suria

Linda Jasmine Tidak Rancang Tambah Anak

Linda Jasmine.
Linda Jasmine.
Linda Jasmine.

KUALA LUMPUR: Isteri kepada pelakon Que haidar iaitu Linda Jasmine yang sedang sarat hamil anak ketiga memberitahu tidak merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga selepas ini.

Linda, 39, berkata, kandungannya itu yang kini sudah mencecah enam bulan adalah yang terakhir kerana dia dan suami ingin memberi tumpuan dalam membesarkan anak-anak pula selepas ini.

"Rasanya ini adalah yang terakhir untuk saya mengandung. Tetapi jika Allah S.W.T. ingin memberikan rezeki saya tidak menolak," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran teater muzikal KL Energetik di sini pada Rabu.

Linda berkata, dia tidak sabar untuk menerima kelahiran orang baru dalam keluarga mereka.

Ujarnya, dia dan Que gembira apabila dikhabarkan akan menerima cahaya mata perempuan dan berharap bayi yang akan dilahirkan kelak sihat.

"Saya dan Que sebelum ini memang berhasrat untuk menimang seorang lagi anak perempuan dan tidak sabar rasanya untuk menanti kehadiran cahaya mata baru kami itu," ujarnya.

Linda dijangka bakal melahirkan anak pada Mei 2012.

Dalam pada itu, Linda memberitahu untuk kandungannya kali ini, dia mengalami alahan yang teruk selain sering kepenatan apabila melakukan sesuatu.

Linda bagaimanapun berkata, tidak mahu terlalu memanjakan diri dan tetap bergerak aktif dalam melakukan aktiviti hariannya.

"Walaupun cepat penat dan mengalami alahan saya tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk terus bergerak aktif dalam melakukan aktiviti harian," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai penglibatan anak sulungnya, Qalif Khan,12, dalam pementasan teater muzikal KL Energetik, Linda berkata, perkara itu berlaku secara kebetulan tambahan pula anak lelaki tunggalnya itu suka mencuba sesuatu yang baru.

Linda berkata, dia tidak pernah memaksa anaknya untuk terlibat dalam aktiviti yang tidak digemarinya namun mengakui banyak mendedahkan pelbagai aktiviti kepada Qalif.

"Saya tidak pasti sama ada dia ingin menjadi seorang penyanyi atau pelakon di masa hadapan kerana pada usianya 12 tahun, Qalif gemar mencuba perkara baru.

"Saya sebagai ibu tidak pernah menghalangnya dan cuba membuka ruang kepadanya terhadap pelbagai aktiviti baru mengikut kesesuaiannya," ujarnya.

Hasil perkahwinan Que dan Linda, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iatu Tengku Ratu Haidar yang kini berusia dua tahun sementara Qalif adalah anak hasil perkahwinan Linda dengan suami terdahulu.

Artikel Berikut

Artikel Lain