suria

Pentadbir Harta Michael Jackson Saman Bekas Pengurus

Michael Jackson
Michael Jackson
Michael Jackson

LOS ANGELES: Pentadbir harta peninggalan Michael Jackson telah memfailkan saman ke atas bekas pengurus raja pop itu dengan mendakwa dia telah memperdayakan Michael untuk menandatangani satu kontrak secara tidak sah.

Saman ke atas Tohme R. Tohme itu muncul setahun selepas kedua-dua pihak bertelagah atas soal hak dan tuntutan harta peninggalan Michael sesudah kematiannya.

Bekas pengurus itu mendakwa, dia memiliki 15 peratus daripada AS$310 juta hasil royalti dan lain-lain faedah yang dipungut oleh pentabir harta Michael.

Saman yang difailkan itu pula menuntut agar Tohme memulangkan semula apa jua harta benda milik Michael serta rekod-rekod kewangannya serta menuntut mahkamah memerintahkan bahawa Tohme tidak berhak ke atas sebarang harta peninggalan Michael.

Kontrak yang dikatakan telah memperdayakan Michael itu dibuat pada tahun terakhir sebelum kematian Michael yang antara lain memberi hak kepada Tohme ke atas apa jua bayaran yang akan diterima oleh Michael termasuklah konsert terakhirnya yang dijadualkan di London seminggu sebelum kematiannya itu.

Tohme berkhidmat sebagai pengurus kewangan Michael dari Januari 2008 hingga Mac 2009.

Dalam saman tersebut, Tohme dituduh telah memperdaya Michael untuk bersetuju memberikannya hak yuran perkhidmatan sehingga AS$2.4 juta kerana membantu menyelesai merundingkan pembayaran semula hutang untuk menyelamatkan ladangnya Neverland Ranch daripada disita.

Tohme juga dikatakan secara salah telah memperdayakan Michael untuk bersetuju memberikannya bayaran yuran perkhidmatan sehingga AS$100,000 sebulan untuk konsert “This Is It” yang dirancang di London.

Saman itu juga mendakwa yang Tohme secara salah merampas hak ke atas segala kerja-kerja seni yang dihasilkan oleh Michael.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain