suria

Deejay Red FM Jadi Banduan Bukan Kerana Dadah

Lil' Kev
Lil' Kev
Lil' Kev

PETALING JAYA: Penyampai radio Red FM, Lil’ Kev menyangkal tuduhan kononnya dia menghilangkan diri daripada dunia penyiaran radio selama lapan tahun kerana menerima hukuman penjara di Bali, Indonesia atas kesalahan memiliki dadah.

Lil’ Kev atau nama sebenarnya Kevin Arokiasamy, 41, berkata tuduhan itu adalah tidak berasas kerana pada hakikatnya dia tidak mengambil dadah dan hanya ditahan di dalam penjara untuk tempoh dua bulan sahaja selepas kediamannya diserbu oleh pihak berkuasa di sana pada Disember 2008.

Bapa kepada dua orang anak ini berkata, selama dua bulan bergelar banduan pelbagai ‘drama’ dan ‘kekecohan’ ditimbulkan oleh pihak berkuasa di sana yang menyulitkan kelancaran proses siasatan.

Katanya, berita penahanan itu tersebar dan telah disalah ertikan apabila ia turut mendapat liputan media, sekali gus memburukkan lagi keadaan.

“Saya akui pernah dipenjarakan tetapi bukan untuk tempoh lapan tahun. Saya dipenjarakan selama dua bulan sepanjang tempoh siasatan kes itu berlangsung kira-kira dua tahun yang lalu.

“Pada ketika itu, kediaman saya telah diserbu oleh pihak berkuasa dan kebetulan pula saya dan kawan-kawan sedang mengadakan parti.

"Apabila serbuan dilakukan, terdapat dadah di rumah saya. Tetapi saya tidak mengambil dadah dan ujian membuktikan saya bebas dadah,” katanya kepada mStar Online.

Lil’ Kev berkata dia amat bersyukur dan terhutang budi dengan bantuan kedutaan Malaysia di negara itu yang memudahkan kesulitan dihadapinya sepanjang tempoh siasatan.

“Saya amat bersyukur dengan bantuan kedutaan Malaysia di sana yang banyak membantu sehingga kes ini selesai. Lebih bermakna nama dan rekod jenayah saya dapat dibersihkan. Kekecohan itu timbul atas dasar salah faham,” katanya.

Berkongsi mengenai kehilangannya daripada dunia radio selama lapan tahun selepas meninggalkan stesen Hitz.fm, Lil’ Kev berkata sepanjang tempoh itu dia bekerja sebagai deejay di beberapa lokasi di sekitar Indonesia dan menjadi perunding radio di negara tersebut.

Ketika ditanya adakah dia bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai spekulasi susulan kemunculannya semula dalam dunia hiburan tanah air, Lil’ Kev berkata sebagai individu yang tidak bersalah, dia tidak perlu gentar untuk bercerita perkara yang sebenar jika ditanya oleh sesiapa pun.

“Insiden itu sangat menyedihkan dan pengalaman yang banyak mengajar saya. Ia membuatkan saya lebih berhati-hati dengan persekitaran.

“Saya gembira dengan sokongan pelbagai pihak yang enggan mempercayai tuduhan itu dan kini hanya mahu fokus pada keluarga dan kerjaya radio sahaja,” katanya.

Lil’ Kev dan gandingannya pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim bersiaran dalam segmen Red Breakfast di Red FM, pukul 6 hingga 10 pagi pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula 13 Februari lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain