suria

Tugasan Penyampai Era FM Ubah Persepsi Dina Pada Lagu Melayu

Dina Nadzir mahu merakamkan lagu-lagu pop Melayu. - Foto oleh SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Dina Nadzir mahu merakamkan lagu-lagu pop Melayu. - Foto oleh SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Dina Nadzir mahu merakamkan lagu-lagu pop Melayu. - Foto oleh SHAHRUL FAZRY ISMAIL

KUALA LUMPUR: Penyanyi Dina Nadzir mengakui pengalamannya bertugas sebagai penyampai radio Era FM sejak dua tahun lalu telah mengubah persepsinya terhadap lagu-lagu Melayu.

Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, 27, berkata kekerapannya memutarkan pelbagai lagu Melayu dari era 1990-an hingga 2000 setiap kali bertugas membuatkan dia semakin menghargai keindahan lagu-lagu tersebut yang kurang dikenalinya sebelum ini.

“Kalau sebelum ini, saya lebih cenderung pada lagu-lagu antarabangsa dan urban, kini saya mengenali banyak lagu hebat Melayu yang pernah popular pada satu ketika dulu.

“Ia membuatkan saya lebih menghargai betapa indah melodi dan lenggok lagu-lagu Melayu yang mempunyai identiti dan penjiwaan yang kuat berbanding lagu-lagu luar,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Justeru itu, naib juara Malaysian Idol musim pertama ini berkata dia merancang untuk merakamkan lagu-lagu berkonsep pop keMelayuan seperti nyanyian Ziana Zain, Alyah dan Datuk Siti Nurhaliza.

“Dulu saya masih muda dan terlalu teruja pada muzik urban. Kini apabila semakin matang, saya mula sedar akan kehebatan muzik Melayu.

“Saya juga teringin untuk menguji kemampuan diri dalam menyampaikan lagu-lagu pop Melayu yang kaya dengan penjiwaan dan lenggok.

“Cuma, saya berharap jika saya mencubanya kelak, ia akan diterima oleh peminat,” katanya.

Menyentuh perkembangan terbaru, Dina bakal terlibat dengan pementasan Cuci The Musical 3 Last Kopek bermula 2 hingga 18 Mac depan di Istana Budaya.

Dia kini giat menjalani latihan muzikal arahan Harith Iskander itu bersama pelakon-pelakon lain seperti Afdlin Shauki, Awie, Hans Isaac, Nabil dan Harun Salim Bachik.

“Saya sangat teruja dengan pengalaman baru ini. Walaupun ini adalah pengalaman pertama bekerjasama dengan mereka semua, saya terasa seperti dialu-alukan.

“Saya berasa selesa dengan sokongan dan bimbingan mereka,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain