suria

Radhi (OAG) Mahu Bersama Pengasih 'Sampai Mati'

Radhi (OAG)
Radhi (OAG)
Radhi (OAG)

KUALA LUMPUR: Selepas hampir setahun menjalani pemulihan dadah di Rumah Pengasih di sini, penyanyi Radhi (OAG) membuat keputusan untuk menjadi sukarelawan di pusat pemulihan tersebut sehingga ke hujung nyawanya.

Radhi berkata dia ingin berbakti kepada rumah perlindungan itu yang banyak membantunya menjadi seorang yang bersih daripada najis dadah di samping ingin membimbing pelatih di pusat berkenaan.

"Saya dah nekad ingin membantu golongan ini (penagih) kerana tahu bukannya mudah untuk bersih 100 peratus daripada dadah lebih-lebih lagi apabila dikelilingi dengan orang yang mempunyai masalah sama.

"Justeru itu, saya akan kongsi pengalaman yang dilalui bersama mereka. Saya ingin menjadi contoh untuk orang yang bermasalah seperti yang pernah dialami oleh saya dahulu.

“Dan sekarang ini saya akan berada di Pengasih bermula dari hari Isnin hingga Jumaat manakala pada hari minggu saya akan meluangkan masa bersama ibu saya pula,” katanya.

Tambah Radhi, dia telah menghasilkan sebuah lagu khas buat pusat pemulihan tersebut sebagai tanda penghargaannya kepada tempat yang telah banyak mengubah dirinya itu dan akan dimuatkan dalam album terbaru OAG nanti.

“OAG akan mengeluarkan sebuah single baru yang berjudul “Si Pengasih Muda” dan ia ditujukan khas buat warga Rumah Pengasih sebagai tanda penghargaan saya kepada mereka.

“Dalam pada itu OAG juga akan muncul dengan sebuah album baru dengan memuatkan 10 buah lagu yang antaranya seperti Di Bawah Satu Tanah Air, Ambisi, Limbo dan Tears Park,” ujarnya.

Beritahu duda anak satu ini, lagu-lagu dalam album tersebut yang diciptakan oleh dia sendiri sepanjang berada di Pengasih.

Malah, yang membuatkan dia lebih selesa berada di pusat itu kerana kemudahan bermain muzik atau “jamming” turut disediakan

“Untuk kemunculan album baru OAG nanti, barisan ahli terdiri daripada orang baru di mana saya mengambil pemuzik dari kalangan pelajar-pelajar Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan).

“Bagaimanapun, saya akan pastikan ahli baru ini bersih daripada najis dadah,” tegas Radhi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain