suria

Projek Disko Baldi Kembali Dengan 'Love'

PETALING JAYA: Kumpulan komedi yang dikenali Projek Disko Baldi yang pernah menggegarkan PJ Laugh Fest pada Mei tahun lalu bakal muncul dengan sebuah pementasan terbaru berjudul Love yang menampilkan sketsa bertemakan cinta dan isu semasa.

Menurut Pengarah Artistik Playground Productions, Megat Sharizal, mereka mengambil keputusan untuk memilih tema cinta adalah kerana ia mudah dikaitkan dengan komedi dan pelbagai perkara boleh diwujudkan bagi menarik minat penonton.

Megat bagaimanapun berkata, mereka tidak mengehadkan kepada isu-isu cinta sahaja tetapi memasukkan elemen-elemen isu semasa yang terjadi di kalangan rakyat negara ini.

“Selepas persembahan pertama kami, kami gembira apabila ramai penonton boleh menerima gaya komedi kami yang berlainan.

"Kami juga mendapat ramai penyokong khususnya di laman Facebook, Twitter dan Youtube kami. Tiba masanya kami memberikan peminat kami sebuah lagi pementasan sketsa”, katanya.

Bakal dipentaskan di PJ Live Arts, Jaya One di sini, Projek Disko Baldi bakal beraksi selama 90 minit khas untuk peminat komedi bermula 16 sehingga 19 Februari ini.

Menariknya mengenai persembahan itu nanti ia akan dilakukan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris selain turut mempersembahkan beberapa lagu ciptaan mereka.

Terdiri daripada tujuh anak muda iaitu Redza Minhat, Iedil Putra, Shamaine Othman, Megat Sharizal, Farah Rani, Ashraf Zain dan Tuan Faisal, pementasan ini turut menampilkan pelakon teater dan televisyen, Sherry Abdullah sebagai penampilan istimewa.

Projek Disko Baldi akan dipentaskan di PJ Live Arts, Jaya One pada pukul 8.30 malam bermula 16 hingga 19 Februari dan 3 petang pada 18 dan 19 Februari 2012.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/projekdiskobaldi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain