suria

RL6: King, Ketupat Mangsa Penyingkiran Pertama

Kumpulan King.
Kumpulan King.
Kumpulan King.

KUALA LUMPUR: Kumpulan King dan Ketupat menjadi mangsa penyingkiran pertama gelanggang Raja Lawak musim keenam (RL6) selepas mendapat peratus undian terendah pada persaingan minggu ketiga yang berlangsung di Pusat Penyiaran Asia Astro, Bukit Jalil, di sini, malam Jumaat.

King mendapat 6.3 peratus undian, manakala Ketupat dengan undian tercorot, 5.7 peratus.

Satu lagi peserta yang berada pada kedudukan tiga terbawah iaitu kumpulan Albob (6.5), bagaimanapun terselamat daripada penyingkiran.

Mengulas mengenai penyingkiran dua peserta secara serentak pada minggu ini, Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata keputusan itu diambil memandangkan tiada penyingkiran berlaku pada dua minggu pertama.

"Kita mengikut format dan perancangan yang telah ditetapkan bagi musim ini. Kita memberi peluang kepada para peserta selama dua minggu untuk menunjukkan prestasi masing-masing.

"Pada minggu ini, kita putuskan untuk menyingkirkan dua peserta secara serentak.

"Bagaimanapun, itu tidak bermakna penyingkiran akan berlaku secara konsisten pada minggu-minggu akan datang. Ia bergantung pada kesesuaian dan keperluan," katanya.

Ketika ditanya mengenai prestasi persembahan tiga peserta tercorot itu, Nizam berkata dia berpuas hati dengan peningkatan persembahan yang ditunjukkan oleh semua peserta selepas tiga minggu berlangsung.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan semua peserta.

"Cuma mungkin aksi kumpulan Ketupat sahaja yang lemah, manakala King dan Albob sudah melakukan persembahan yang baik pada malam ini (malam Jumaat)," katanya.

Selain Albob, sembilan lagi peserta yang bakal meneruskan persaingan pada minggu hadapan adalah 2Yol, Zero, Skema, Cuit, Gman, Shiro, Riki, Selak dan peserta solo, Kodan.

Minggu ketiga RL6 mengangkat tema 'Zaman Sekolah'.

Masih lagi mengekalkan format permarkahan menerusi 100 peratus undian penonton, para peserta mendapat bimbingan pengarah filem Ahmad Idham selaku Cif Besar dan tiga Cif Kecik iaitu Yus, Angah dan Tauke.

Para peserta musim ini diadili tiga pengkritik tetap iaitu produser filem dan drama David Teo, pelawak Sathia dan produser dan pelakon Sheila Rusly.

RL6 diterajui oleh pasangan pengacara Johan dan Zizan dan disiarkan pada setiap Jumaat pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132).

Paparan aktiviti mingguan para peserta pula disiarkan dalam Kapsul Raja Lawak pada setiap Isnin hingga Khamis pukul 9.55 malam di saluran yang sama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain