suria

'ON AIR' : Peserta Jangan Pakai Selipar - Aznil

PETALING JAYA: Pengacara Azni Nawawi menasihati orang ramai yang berhasrat menjadi pengacara menerusi uji bakat bagi rancangan ON AIR, tidak memakai selipar sebaliknya perlu menghiaskan diri agar kelihatan menarik.

Aznil yang juga ketua juri berkata, jika mereka hadir dengan imej tersebut, ia secara tidak langsung menampakkan keperibadian yang tidak serius untuk bergelar seorang pengacara.

“Saya agak sedih kerana ramai peserta yang diiji bakat di Pulau Pinang pada 14 dan 15 Januari lalu gagal kerana mereka tidak bersedia dengan imej yang menarik dan kelihatan eperti tidak serius untuk menceburkan diri dalam bidang ini,” katanya kepada mStar Online dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Tambah Aznil peserta juga diingatkan supaya tidak meniru gaya pengacara sedia ada sebaliknya perlu tampil dengan imej bersahaja tetapi meyakinkan.

Selain itu katanya, gaya seperti seorang pakar motivasi dan juga pendebat juga perlu dielakkan kerana ia tidak menepati kehendak program berkenaan dalam mencari pengacara pelapis.

“Saya melihat sambutan orang ramai untuk bergelar pengacara amat baik. Di Pulau Pinang, lebih 200 orang hadir untuk sesi berkenaan tetapi sayangnya mereka tidak bersedia,” ujarnya.

Bagaimanapun agak menarik perhatian menurutnya, kehadiran juri jemputan, Datin Seri Normala Shamsudin pada sesi itu ternyata telah memberikan semangat kepada orang ramai untuk memberanikan diri untuk diuji bakat.

Program ON AIR ini akan memilih masing-masing tujuh wanita dan lelaki yang akan ditempatkan di lokasi terpilih bagi menjalani kursus yang telah ditetapkan dalam usaha memantapkan mereka untuk bergelar pengacara televisyen.

Peserta bertuah akan diberi tunjuk ajar, pendedahan serta tugasan tertentu selama 10 minggu yang berlandaskan format televisyen iaitu berita, majalah dan hiburan.

Juara bakal menandatangani kontrak sebagai 'Artis Residen Astro' selama tiga tahun dan pelbagai hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kelak.

Selain bertindak sebagai juri, Aznil yang dibantu oleh pengacara Suhaimi Sulaiman juga bertanggungjawab untuk melatih dan membimbing para peserta menjadi seorang pengacara yang versatil.

Selepas Pulau Pinang, pihak produksi akan mengunjungi tiga buah lokasi lain seperti berikut:-

Johor Baru: The Puteri Pacific - (21 & 22 Januari)

Sarawak: Merdeka Palace, Kuching - (28 & 29 Januari)

Kuala Lumpur: Pusat Penyiaran Asia (Astro), Bukit Jalil - (4 & 5 Februari)

Kaunter pendaftaran bagi setiap sesi uji bakat dibuka dari pukul 9 pagi hingga 1 petang.

Peserta lelaki atau perempuan tidak kiralah sama ada bujang atau berkahwin mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun hingga 30 tahun.

Mereka perlulah berkebolehan bertutur dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik selain berpersonaliti menarik.

Para peserta perlulah membawa salinan kad pengenalan, resume dan sekeping gambar berukuran 4R.

Artikel Lain