suria

'Tiada Masalah Dengan Namewee' - Produser

Namewee bersama barisan krew dan pelakon 'Hantu Gangster'.
Namewee bersama barisan krew dan pelakon 'Hantu Gangster'.
Namewee bersama barisan krew dan pelakon 'Hantu Gangster'.

PETALING JAYA: Syarikat produksi Prodigee Media dan UB Prodigee Entertainment menolak dakwaan kru penggambaran filem Hantu Gangster terpaksa 'angkat kaki' berikutan tidak sehaluan dengan pengarahnya, Namewee.

Produser filem tersebut Fred Chong berkata, hanya masalah kecil sahaja berlaku dalam produksi tersebut membabitkan beberapa kru sampingan seperti pembuat air dan runner yang mempunyai masalah dengan pengarah itu.

“Sebenarnya ia bukanlah satu isu besar dan tiada masalah pun kerana kru utama seperti pengarah seni dan pekerja kreatif Hantu Gangters masih lagi kekal bersama kami.

"Mereka juga pernah bekerjasama dengan Namewee dalam filem Nasi Lemak 2.0 tahun lalu," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Fred diminta mengulas kononnya terdapat rasa tidak puas hati kru produksi filem Hantu Gangster terhadap cara kerja Namewee, sehingga menyebabkan mereka menarik diri untuk terlibat dengan pembikinan filem itu.

Dalam pada itu, Fred menambah, dia tidak menganggap hal tersebut telah mengganggu penggambaran yang hanya berbaki kira-kira seminggu sahaja lagi yang bermula sejak sebulan lalu.

Katanya, kru produksi yang sering bersilih ganti dalam sesebuah produksi adalah satu perkara biasa.

"Biasalah kalau sesebuah produksi terpaksa menukar kru kerana ia membabitkan keserasian antara satu sama lain ketika bekerja.

"Dan apabila merasakan tidak sehaluan mereka akan mengundur diri. Apa-apa pun, ia tidak menjejaskan penggambaran Hantu Gangter.

"Malah baik daripada segi kerjasama para pelakon dan Namewee, mereka sangat profesional," ujarnya.

Hantu Ganster mengisahkan tentang tiga kumpulan gengster daripada latar belakang budaya yang berbeza, berganding bahu dalam mempertahankan keluarga melalui bantuan seorang pencuri.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem komedi seram ini ialah Noh, Mizz Nina, Diana Danielle, Farid Kamil, Dato David Arumugam, Datuk Jalaluddin Hassan, Reshmonu, Amber Chia, Taijuddin Bakar, Dennis Lau dan beberapa pelakon tambahan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain