suria

Nabil, Kencana Devi Tidak Gugat Halim Othman

Kini Halim Othman mengendalikan Breakfast@Suria bersama Kencana Devi dan Nabil. Foto AZLINA ABDULLAH
Kini Halim Othman mengendalikan Breakfast@Suria bersama Kencana Devi dan Nabil. Foto AZLINA ABDULLAH
Kini Halim Othman mengendalikan Breakfast@Suria bersama Kencana Devi dan Nabil. Foto AZLINA ABDULLAH

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Halim Othman, tidak merasakan dirinya sebagai 'DJ senior' akan tergugat dengan kehadiran dua pelawak Nabil (Raja Lawak) dan Kencana Devi yang akan bersamanya mengendalikan segmen Breakfast@ Suria.

Halim yang menjadi 'kapten' dalam segmen itu berkata, kehebatan dua penyampai baru berkenaan dalam berlawak memberikan satu cabaran buat dirinya dengan bakat masing-masing, segmen pagi tersebut akan menjadi lebih menarik.

"Saya tidak berasa tergugat langsung dengan kehadiran mereka sebaliknya gembira kerana dapat mengendalikan segmen ini dengan dua orang yang berbakat besar.

"Setakat ini saya suka dengan personaliti Nabil yang jelas di mana dia seorang yang jujur dan kelakar. Begitu juga dengan Kencana, dia hebat berkata-kata. Cuma saya harap apa yang dipersembahkan nanti seimbang," katanya.

Halim ditemui pada sidang akhbar program Seria FM 2012 serta memperkenalkan penyampai radio baru Nabil dan Kencana.

Tambahnya, dia berharap Nabil dan Kencana dapat membezakan antara melawak di televisyen dan radio kerana impak sesebuah lawak yang dibuat begitu kuat kepada pendengar.

"Dalam pada itu, tanggungjawab kami bukan sekadar membuat lawak setiap pagi tetapi memberi informasi berkaitan dengan hal-hal isu semasa.

"Kiranya, saya membuka sesebuah topik lalu mereka yang akan kembangkan dengan bakat lawak yang dimiliki masing-masing," ujarnya

Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah berkata, pemilihan dua penyampai radio daripada pelawak bukan sekadar mengikut trend tetapi ia merupakan satu permintaan para pendengar yang inginkan komedi untuk segmen pagi.

"Berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak kami, elemen komedi perlu ada dalam pengisian setiap segmen lebih-lebih lagi pada waktu pagi. Sebagai contoh, pendengar memerlukan lawak jenaka di saat mereka melalui kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan ke kerja.

"Bagaimanapun, pihak kami tidak memberikan lawak-lawak kosong, sebaliknya ia akan diisi dengan hal isu-isu semasa," katanya.

Selain Breakfast@ Suria (bermula 5 pagi hingga 10 pagi), segmen kendalian Myra dan Zizi menerusi Menu Ceria Suria akan bermula pada pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Mengisi segmen Santai Pejabat Di Suria (1 tengah hari hingga 4 petang) pula menyaksikan keletah Bob Ringgo, diikuti pula Ceria Petang Di Suria bersama Linda Onn (4 petang hingga 8 malam).

Manakala Tyzo akan mengendalikan Citra Muzik Di Suria bermula pada pukul 8 malam hingga 11 malam dan segmen kegemaran ramai, Suria Cinta kendalian DJ Lin pula bermula pada pukul 11 malam hingga 2 pagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain