suria

Kerana Serik, Remy Enggan Layan Kontroversi

Remy Ishak
Remy Ishak
Remy Ishak

PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak,30, bertekad untuk tidak melayan apa juga perkara yang boleh menimbulkan kontroversi pada tahun 2012 kerana sudah serik dengan pelbagai kisah sensasi seperti yang berlaku sebelum ini.

Remy berkata selama ini dia telah melakukan kesilapan apabila terlalu melayan cerita-cerita tersebut sehingga memburukkan namanya sendiri.

“Pada tahun 2012 saya berjanji kepada diri saya untuk tidak lagi memperkatakan sesuatu yang boleh mengundang kontroversi. Saya nak fokus kepada kerjaya saya sahaja. Saya tak mahu lagi melalui peristiwa-peristiwa seperti dahulu,” jelasnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Rabu.

Antara kontroversi yang pernah melanda Remy apabila dia dikatakan mula besar kepala, sudah pandai “demand”, pergaduhannya dengan Ummi Nazeera, perselisihan faham dengan wartawan serta percintaannya dengan Tiz Zaqyah.

Remy berkata, kadangkala ada pihak-pihak tertentu yang cuba melakukan provokasi sehingga membuatkannya “panas hati” atas tujuan untuk menghangatkan suasana.

Atas pengalaman itu ujar Remy dia mengambil pendekatan untuk melakukan perubahan terhadap hidupnya supaya perkara-perkara negatif tidak lagi terjadi dalam dirinya pada masa akan datang.

“Saya banyak belajar daripada kesilapan lalu. Kadang-kadang sesuatu perkara yang tidak patut kita fikirkan, kita tak perlu memikirkan hal itu,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Remy sibuk dengan penggambaran filem aksi berjudul TyIcKooUnS (disebut taikun) di Negeri Sembilan bersama beberapa pelakon lain antaranya Bront Palare, Arman Graseka, Usop Wilcha dan Aaron Aziz.

Filem yang mengisahkan aktiviti rasuah dan pembunuhan ini banyak menggunakan aksi ngeri yang dilakonkan sendiri oleh Remy.

“Banyak adegan aksi yang diberikan. Saya tidak gunakan pelakon lagak ngeri. Saya lebih selesa melakonkannya sendiri,” jelasnya.

Kekasih kepada Tiz Zaqyah ini berkata, dia bersyukur sepanjang tahun ini rezekinya dalam bidang seni datang mencurah-curah sehinggalah beberapa tawaran drama untuknya terpaksa ditolak kerana bertembung dengan jadual penggambaran filem.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain