suria

Juliana Evans Menangis Tinggalkan Tanah Air

PETALING JAYA: Pelakon jelita Juliana Evans,23, mengakui amat sedih dan menitiskan air mata kerana terpaksa meninggalkan tanah air selama dua tahun untuk menyambung pelajarannya di University of Michingan, Amerika Syarikat.

Juliana mengakui amat sedih kerana terpaksa melupakan karier lakonannya semata-mata untuk memberi tumpuan terhadap pengajiannya peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang komunikasi massa di negara itu.

"Memang saya terlalu sedih sekarang ini kerana terpaksa melepaskan kerjaya lakonan buat seketika. Lebih memilukan apabila terpaksa meninggalkan keluarga dan kawan-kawan karib saya.

"Rasa berat hati sangat nak tinggalkan semua dan saya masih tak boleh menerima hakikat yang saya terpaksa berjauhan dengan orang yang saya sayangi," katanya ketika dihubungi mStar Online din sini, Rabu.

Ketika panggilan dibuat, Juliana sudah pun berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke negara berkenaan.

Bagaimanapun dia nekad untuk meneruskan pengajiannya itu demi mengukuhkan taraf kehidupannya pada masa akan datang nanti.

Malah bidang komunikasi massa itu jugaa bertujuan untuk dia mendalami dan mengembangkan lagi bakat seni yang dimiliki.

"Kerjaya lakonan tidak mungkin boleh kekal lama. Justeru itu saya perlu belajar mendalami ilmu seni dari segi pengurusan produksi pula.

"Saya ingin belajar cara pengurusan di belakang tabir. Insya-Allah, kelas saya akan bermula pada minggu depan.

"Malah saya percaya, suasana dan rakan baru akan banyak mempengaruhi saya untuk menjadi seorang yang lebih matang ," ujarnya yang akan mencari mana-mana peluang untuk bekerja sebagai model sambilan di negara tersebut.

Sementara itu, anak kacukan Melayu-Inggeris ini berharap penggiat seni dan para peminat tidak terus memadamkan namanya dalam ingatan masing-masing kerana tempoh “kehilangannya” hanyalah untuk tempoh dua tahun.

"Memang semestinya saya akan merindui dunia kehidupan artis dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua media yang telah menaikkan nama saya sehingga ke tahap dikenali ramai. Semoga kita dapat berjumpa kembali," katanya mengakhiri perbualan untuk menaiki pesawat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain