suria

Fifa Sebak Juarai Idola Kecil 4

Foto UTUSAN
Foto UTUSAN
Foto UTUSAN

KUALA LUMPUR: Juara Idola Kecil musim keempat, Sharifah Nurhafila Wan Aziz (Fifa), 12, tidak mampu menahan sebak apabila diumumkan memenangi pertandingan akhir tersebut di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini, malam Sabtu.

Fifa yang menyanyi lagu Aku Permata nyanyian Salma (Mentor) dan lagu baru Cinta Sebelah Meja ciptaan Delly berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM15,000 dan trofi.

Menurut Fifa yang mendapat keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) iaitu 3A 2B pada tahun 2011, dia tidak menyangka kemenangan itu berpihak kepadanya memandangkan persaingan antaranya dan lima finalis lain agak sengit.

“Saya memang tak sangka sebab kawan-kawan lain turut membuat persembahan yang hebat. Apabila diumumkan sebagai pemenang dan melihat gambar saya yang keluar di skrin, saya akui sangat terkejut kerana terlalu teruja untuk mengetahui keputusannya.

“Saya merancang untuk meneruskan perjuangan saya dalam bidang nyanyian kerana amat berminat untuk bergelar seorang penyanyi,” katanya dalam satu sidang media selepas program itu berakhir.

Sementara tempat kedua dimenangi oleh Farisha Asmadi (Irish), 12, dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi manakala tempat ketiga yang memenangi hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi dimiliki oleh Nabihah Idrus (Abby), 12.

Finalis lain yang turut menyertai pertandingan ini adalah Sharifah Rusilmu Imani Syed Hussain (Rusil), 11, Sarah Elyssa Khairul Fahmy (Shasha), 11, dan Hairul Asri Alis Sjofjan (Hairul), 12.

Pertandingan ini diadili sepenuhnya oleh tiga juri berpengalaman iaitu penyanyi Raja Putri Atilia Raja Haron (Atilia), komposer Adnan Abu Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul.

Program realiti yang dihoskan oleh penyanyi Alif Satar ini turut disiarkan secara langsung di TV9.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain