suria

Pengalaman Personaliti ntv7 Sambut Krismas

Lisa Wong, Charles Mohan dan Melissa Ong.
Lisa Wong, Charles Mohan dan Melissa Ong.
Lisa Wong, Charles Mohan dan Melissa Ong.

SAMBUTAN Krismas pada hari ini memberi pengertian yang sangat bermakna buat penganut agama Kristian, perayaan yang disambut setiap 25 Disember setiap tahun. Keseronokan itu tidak dilepaskan oleh tiga selebriti ntv7 iaitu Charles Mohan, Lisa Wong dan Melissa Ong.

Pertama kali digandingkan dalam satu sesi fotografi, ketiga-tiga selebriti ini kelihatan malu-malu untuk beraksi di hadapan kemera.

Namun selepas beberapa ketika, ketiga-tiga mereka mula rancak memberi gaya tersendiri sambil bercerita tentang pengalaman ruang kerja masing-masing dan sambutan hari Natal kali ini.

Lisa sibuk memasak

Pengacara rancangan Bella, Lisa Wong menganggap perayaan Krismas adalah masa paling istimewa yang diraikan bersama kesemua ahli keluarganya.

Kata Lisa, dia tidak melepaskan peluang menyambut Krismas dengan menghabiskan masa untuk memasak makanan tradisi mereka. “Setiap kali Krismas, apa yang dinantikan adalah masa untuk berkumpul seisi keluarga. Tahun lepas saya beraya di London bersama keluarga suami saya.

“Namun kali ini kami merayakannya di Malaysia sahaja bersama keluarga. Kebiasaannya selepas balik dari gereja kami akan masak pelbagai makanan.

“Kadang kala, aktiviti memasak kami mengambil masa terlalu lama kerana bagi kami ia adalah satu aktiviti yang membuatkan kami sekeluarga berkumpul menghabiskan masa,” katanya.

Selain daripada itu, Lisa berkata waktu yang paling dinantikan adalah ketika bertukar-tukar hadiah.

“Perkara yang wajib dan paling ditunggu-tunggu ialah mendapat hadiah masing-masing. Biasanya apabila bangun daripada tidur kami akan mencari hadiah-hadiah yang tersembunyi.

“Biarpun hadiah yang disediakan tidak mahal dan kecil tetapi perasaan teruja untuk mendapatkannya berbeza daripada hari biasa.

“Ia adalah perkara yang membuatkan kita seperti kembali ke zaman kanak-kanak semula,” katanya dengan gembira.

Melissa Ong hargai orang sekeliling

Sementara itu, pembaca berita Edisi 7, Melissa Ong menyifatkan hari Natal kali ini adalah paling bermakna buatnya.

Melissa yang terlibat dalam misi bantuan di Somalia pada September lalu mengakui selepas tragedi ngeri yang menimpa salah seorang teman media iaitu Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, dia lebih menghargai orang-orang yang berada di sekelilingnya. “Selepas kejadian salah seorang rakan ditembak di Somalia, yang mana saya juga berada di dalam kenderaan yang sama, saya berasa sangat bernasib baik kerana terselamat.

“Oleh itu pada Krismas ini saya ingin mengucapkan syukur atas keselamatan dan umur yang diberi, malah akibat kejadian itu juga saya lebih menghargai orang-orang yang terdekat dengan saya,” katanya.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, anak jati Kuala Lumpur ini tidak melepaskan peluang untuk menghabiskan masa bersama ahli keluarganya.

“Saya bernasib baik kerana hanya saya seorang sahaja yang menyambut Krismas di tempat kerja, jadi tidak ada masalah berebut cuti.

“Selama empat tahun bekerja di ntv7, belum ada tahun yang saya terpaksa kerja pada hari Krismas. Bagi saya peluang untuk berkumpul bersama keluarga hanya setahun sekali sahaja,” katanya.

Graduan Universiti Curtin, Australia ini juga mengambil kesempatan untuk bercuti di Singapura bersama keluarga dan rakan-rakan di sana.

“Setiap tahun saya menyambut di Singapura kerana di sana lebih meriah. Lagi pula saya pernah tinggal dan mempunyai ramai kawan di negara itu.

“Saya juga mengambil kesempatan beraya sambil bercuti dan Singapura adalah negara yang paling sesuai dan dekat dengan Malaysia,” katanya.

Jelas Melissa lagi, bagi perayaan kali ini dia sudah menyediakan hadiah istimewa untuk ibu bapanya.

Charles Mohan bersedih

Bagi Charles Mohan, Krismas kali ini disambut dengan perasaan sedih kerana kehilangan ibu tersayang dua bulan lalu.

Tiada lagi kehangatan dan kemeriahan seperti mana ketika mendiang ibunya masih hidup.

“Krismas kali ini saya beraya bersendirian dan sudah pasti ia tidak begitu bermakna berbanding tahun sebelum ini.

“Ahli keluarga yang lain seperti adik beradik saya yang sudah berkahwin akan balik ke rumah mentua mereka,” katanya.

Tambah Charles, setiap tahun dia akan meluangkan masa untuk melawat ke rumah anak yatim bagi mengisi kekosongan hati.

“Saya suka melawat ke rumah anak yatim setiap kali Krismas. Saya mahu mereka tidak rasa sunyi dan dihargai.

“Sedikit sebanyak masa yang saya luangkan untuk mereka dapat membantu memeriahkan hari Natal mereka,” katanya.

Charles yang sudah hampir lima tahun bertugas sebagai wartawan penyiaran ntv7 menganggap kerjaya tersebut merupakan sesuatu yang memberi kepuasan kepadanya.

“Saya mendapat kepuasan apabila dapat menyelesaikan masalah orang terutamanya yang betul-betul berada dalam kesusahan.

“Apabila kita membantu mereka dan masalah itu diberi perhatian oleh pihak-pihak tertentu kita akan berasa sangat puas dan berbaloi, biarpun ia bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Foto ART CHAN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain