suria

Ruth Sahanaya Pukau Penonton Malaysia

Ruth ketika menyanyikan lagu Kaulah Segalanya. - Foto THE STAR Oleh ROHAIZAT DARUS.
Ruth ketika menyanyikan lagu Kaulah Segalanya. - Foto THE STAR Oleh ROHAIZAT DARUS.
Ruth ketika menyanyikan lagu Kaulah Segalanya. - Foto THE STAR Oleh ROHAIZAT DARUS.

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia, Ruth Sahanaya berjaya memukau hampir 2,800 penonton yang hadir di Konsert 25 tahun Ruth Sahanaya yang berlangsung di Plenary Hall, pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam Sabtu.

Konsert yang bermula kira-kira pukul 8.40 malam itu dibuka dengan dendangan lagu-lagu popular Ruth Sahanaya yang disampaikan secara medley sebagai pembuka tirai.

Peminat penyanyi berasal dari Bandung, Indonesia ini bagaikan terpukau dengan kemerduan suara Ruth yang mengalunkan lagu-lagunya biarpun terdapat beberapa lagu yang tidak popular di Malaysia.

Pada malam itu juga, Ruth sempat menyanyi lebih 30 buah lagu termasuk solo dan medley antaranya termasuk lagu Kaulah Segalanya, Bawa Daku Pergi, Astaga dan Keliru.

Selain itu, Ruth juga memberi kejutan apabila menyanyikan lagu Tan Sri P.Ramlee, Getaran Jiwa duet bersama penyanyi tersohor tanah air, Datuk Khatijah Ibrahim sebagai penyanyi jemputan.

Khatijah yang mendendangkan lagu popularnya Ku Pendam Sebuah Duka juga berjaya menarik perhatian penonton untuk turut menyanyi bersama.

Selain Khatijah, dua orang puteri Ruth, Nadine dan Amabel yang berusia 16 tahun dan 11 tahun turut tampil membuat persembahan pada malam itu.

Ruth yang ditemui pada sidang media selepas persembahan selesai menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih terhadap sokongan peminat-peminatnya sepanjang 25 tahun berada dalm industri muzik.

"Saya sangat gembira dan puas hati apabila apa yang saya hajati dan rancang untuk konsert ini telah berjalan dengan lancar.

"Malam ini akan menjadi kenangan paling indah dalam hidup saya.

"Hajat saya untuk sampaikan rindu terhadap peminat di sini akhirnya terlaksana dan berharap peminat yang hadir berpuas hati dan terhibur," katanya.

Tambah Ruth, dia juga berbangga dapat berduet dan berkongsi pentas dengan penyanyi yang menjadi idolanya selama ini, Khatijah Ibrahim.

“Kehadiran Kak Kathy adalah sebagai satu penghormatan yang cukup besar memandangkan beliau adalah seorang penyanyi Malaysia yang cukup saya kagumi,” jelasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain