suria

Tony Eusoff Senang Berlakon Dengan Bintang Muda

PETALING JAYA: Pelakon Tony Eusoff, 34, (gambar) memberitahu salah satu rahsia yang menyebabkan dia menerima tawaran berlakon filem apabila diberi peluang berganding dengan pelakon yang sedang meningkat naik.

Menurut Tony, suka bekerja dengan pelakon muda kerana golongan tersebut mempunyai pengetahuan berbeza kerana mereka lebih terdedah kepada kemajuan teknologi

"Saya suka bekerja dengan pelakon baru dan muda kerana pengetahuan mereka berbeza dengan saya apabila sering dikelilingi oleh teknologi. Saya mahu berfikiran lebih terbuka dan boleh menerima perkara-perkara baru yang tidak terhad kepada satu cabang sahaja. Saya merasakan lebih untung jika bersama golongan ini.

"Begitu juga dengan kerjaya, kalau boleh saya tak nak terkongkong melakukan satu kerja sahaja. Jadi, sebab itu saya mencuba bidang penyiaran radio di Capital FM," katanya kepada mStar Online.

Tony ke udara sebagai penyampai jemputan di Capital FM sepanjang Disember ini.

Menyentuh tentang perkembangan karier seni, Tony yang baru selesai menjalani penggambaran telefilem “Roda Warna” untuk RTM1 yang seratus peratus menggunakan dialek negeri Sarawak.

"Setiap cabaran yang berlaku mampu diatasi dengan baik walaupun ini merupakan pertama kali saya menjalani penggambaran menggunakan keseluruhan dialek Sarawak. Ini kerana saya juga berasal dari Sarawak," katanya yang melakonkan watak seorang bapa di samping penyanyi Azam Pitt (My Starz LG) dan Claudia Fay Geres (AF7).

Biarpun belum bergelar bapa, Tony menganggap tawaran sering melakonkan watak bapa sebagai suatu penghargaan kepadanya yang seolah-olah melabel dirinya matang.

Menyentuh tentang bila dia akan menamatkan zaman bujang, Tony berasa belum tiba masanya untuk mendirikan rumah tangga.

"Saya sukar mengagihkan masa antara kerja dan berehat. Saya memang lebih suka bekerja berbanding tidak melakukan apa-apa kerana saya tidak suka duduk diam di rumah," ujarnya yang sedang hangat bercinta dengan pelakon Dawn Jeremiah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain