suria

Sobri Anuar Ingin Bertemu Zaiton Sameon

Sobri (kanan) dan Bob Kuman dalam MLM.
Sobri (kanan) dan Bob Kuman dalam MLM.
Sobri (kanan) dan Bob Kuman dalam MLM.

KUALA LUMPUR: Peserta Maharaja Lawak Mega, Mohd Sobri Anuar, yang didakwa memperolok-olok Zaiton Sameon semasa majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-18, berjanji akan menemui penyanyi terkenal era 80-an itu dalam tempoh terdekat.

Pertemuan itu amat penting bagi membolehkan beliau menjelaskan sendiri perkara sebenar yang berlaku selain mengelak salah faham daripada berterusan.

Mohd Sobri berkata tidak terlintas dalam fikirannya untuk memperolok-olok Zaiton dalam persembahan AIM 18 baru-baru ini memandangkan beliau membesar dengan lagu-lagu penyanyi itu selain menyukainya sebagai seorang artis.

"Kenapa saya namakan diri saya sebagai Eton Melaun pada majlis itu?Sebenarnya, Eton Melaun ialah peminat Kak Zaiton dan bukannya Kak Zaiton.

"Walaupun ia adalah satu aksi meniru watak, tetapi saya menggunakan watak lain kerana itulah caranya kita menjaga sensitiviti dan maruah orang lain. Cumanya kesalahan saya di AIM ialah saya tidak umumkan bahawa Eton Melaun ialah peminat setia kepada Kak Zaiton. Nescaya kalau saya umumkan perkara itu, kontroversi ini tidak mungkin akan berlaku," katanya ketika ditemu bual dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24 Selasa.

Mengulas kritikan pedas yang dilontarkan Chef Wan berhubung kontroversi Eton Melaun, Mohd Sobri berkata beliau tidak marah sebaliknya menerima kritikan itu dengan hati yang lapang.

Chef Wan, menurut Mohd Sobri merupakan seorang tokoh ikonik di negara ini dan kritikan pedas terhadap persembahannya menunjukkan beliau prihatin dengan mutu persembahan peserta.

"Melihat kembali kepada kritikan-kritikan beliau, saya percaya ia adalah satu komentar yang bernas daripada seorang tokoh yang berpengalaman dan seharusnya ia didengari dengan penuh teliti," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain