suria

Ahmad Idham Cari Pengarah Muda Kreatif

Ahmad Idham
Ahmad Idham
Ahmad Idham

KUALA LUMPUR: Pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyediakan platform kepada orang ramai yang mahu menjadi pengarah muda melalui program realiti 1 Impian untuk mereka berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Menurut Idham, program yang turut dianjurkan oleh 1Malaysia TV dan Erama TV itu bertujuan untuk mencari dan mengenal pasti pengarah yang dapat memberikan idea kreatif untuk mengarah sebuah filem cereka di bawah syarikatnya iaitu Excellent Pictures pada masa akan datang.

“Setiap individu yang layak boleh menghantar klip video filem pendek dengan memuat naiknya di www.1impian.my. Daripada penyertaan itu, kami akan memilih 20 filem pendek terbaik untuk dipertontonkan pada 18 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk memilih 12 filem pendek.

“Namun begitu, kami belum menetapkan tarikh tutup penyertaan ini kerana mahu memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia. Flem pendek yang dihasilkan perlulah menepati elemen budaya tempatan.

"Pengarah itu juga perlu memastikan hak cipta filem pendek ini adalah miliknya agar tidak timbul isu ciplak di kemudian hari,” katanya dalam satu sidang media di majlis pra-pelancaran program realiti 1Impian di Hotel Sunway Putera Mall, di sini, Isnin.

Seorang pemenang yang terpilih akan berpeluang untuk mengarah filem cereka di bawah bimbingan Idham dengan peruntukan RM1 juta termasuk kos produksi .

Bagaimanapun, Idham yang pernah mempunyai pengalaman bekerjasama dengan pengarah muda seperti pengarah filem “Ngangkung”, Bob Ismail Hashim menolak persepsi dia mengambil kesempatan melalui pertandingan ini.

“Saya tak nak orang menganggap saya mengambil kesempatan tetapi memberi ruang dan peluang kepada mereka yang berbakat di luar sana.

“Saya tiada masalah untuk mengajar pengarah muda, tetapi masalah saya adalah untuk menemui pengarah yang mempunyai idea yang bagus dan kreatif,” ujarnya.

Filem pendek tersebut dianggarkan berdurasi tiga hingga lima minit, mengikut format yang boleh ditonton dalam laman sesawang. Genrenya adalah terbuka tetapi perlu menjaga sensitiviti penduduk di negara ini.

Program 1Impian yang akan disiarkan di 1Malaysia TV, sebuah televisyen media baru ini akan dilancarkan pada 18 Disember depan di PWTC.

1Malaysia TV merupakan televisyen Internet dan mobile TV (telefon pintar dan komputer tablet yang boleh diikuti menerusi iPhone, iPad, Blackberry, Androids) yang mengandungi rangkaian menarik seperti RTM1, RTM2, TV3, TV AlHijrah, MyTV, CCTV1, E-Korea TV, Erama Music TV, Erama Documentary TV dan KLPOP Online Radio streaming.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dewi Sandra Nikah Lagi

Artikel Lain