suria

Sheila Majid Saran Artis Bersatu Majukan Industri Hiburan

KUALA LUMPUR: Semua artis di negara ini perlu bersatu dan bergabung di bawah satu bumbung jika ingin melihat industri hiburan negara terus hidup dan berkembang maju, kata penyanyi Datuk Sheila Majid.

Melalui penggabungan itu, barulah segala permasalahan yang berlaku selama ini dan masalah baru dapat ditangani dengan tuntas, katanya ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24.

"Malangnya, masalahnya sekarang ialah saya melihat ramai artis yang bercelaru dan tidak tahu nak meluahkan masalah mereka. Kekeliruan itu berlaku kerana banyak sangat persatuan artis di luar sana.

"Lebih membimbangkan, kita tidak mempunyai orang yang benar-benar dapat memperjuangkan hak kita sebagai artis memandangkan kebanyakan mereka yang mengendalikan persatuan-persatuan berkenaan bukan terdiri daripada artis," kata beliau.

Sheila, yang digelar Ratu Jazz Negara, berkata beliau setuju dengan cadangan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freedie Fernandez supaya semua persatuan artis di negara ini digabungkan di bawah satu bumbung.

Katanya beliau juga mungkin kembali bergiat aktif dalam persatuan artis tidak lama lagi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain