suria

LPF Panggil GSC Beri Penjelasan Filem 'Aire Libre'

KUALA LUMPUR: Lembaga Penapis Filem (LPF) akan memanggil wakil dari pawagam Golden Screen Cinema Sdn Bhd (GSC) dan pengedar filem 'Aire Libre' yang telah ditayangkan kepada umum tanpa menjalani pemotongan seperti diarah LPF.

Pengerusi LPF Datuk Raja Azahar (ulang: Azahar) Raja Abdul Manap berkata filem itu telah ditayangkan di pawagam GSC cawangan One Utama, Petaling Jaya; Mid Valley; dan Pavillion di Kuala Lumpur sempena Festival Filem Amerika Latin edisi ke-10 pada 20 hingga 23 Oktober lepas. "Berdasarkan laporan penilaian LPF pada 22 Ogos lepas, filem tersebut telah diluluskan untuk siaran dengan bersyarat iaitu potongan perlu dibuat terhadap 14 adegan yang tidak sesuai dan hanya selepas itu, baru ia boleh diklasifikasi sebagai PG 13.

"PG 13 ialah kategori filem yang sesuai untuk tontonan umum bagaimanapun penonton berumur di bawah 13 tahun hendaklah diiringi ibu bapa atau penjaga," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Filem 'Aire Libre', arahan Luis Armando Roche dari Venezuela, pernah memenangi beberapa anugerah seperti OCIC Award (Anugerah Filem Terbaik) di Festival Filem Havana pada 1996 dan Anugerah Patron's Award (Anugerah Filem Terbaik) di Festival Filem Antarabangsa San Diego pada 1997. Raja Azahar berkata susulan daripada aduan orang ramai yang membantah mengenai adegan yang keterlaluan dalam filem berkenaan ketika ditayangkan di pawagam GSC, siasatan telah dijalankan LPF.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai adegan keterlaluan itu. "Hasil siasatan LPF mendapati bahawa pihak pengedar filem 'Aire Libre' tidak membuat pemotongan seperti diarahkan oleh LPF berdasarkan peraturan di bawah Seksyen 11, Akta Penapisan Filem 2001," katanya.

Beliau berkata, oleh kerana permohonan tayangan filem itu dibuat oleh Kedutaan Venezuela maka wakil kedutaan akan turut dijemput hadir bersama pegawai Kementerian Luar Malaysia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Sentuhan Puitis J.Cole

Artikel Berikut

Aizat Ungguli AIM18?

Artikel Lain