suria

Nadia Nissa Tidak Tahu Arah Tuju Selepas Terima Anugerah

Nadia Nissa ketika menerima anugerah Pelakon Pembantu Terbaik (Filem) di ASK 2011 pada Jumaat lalu. Foto THE STAR Oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS.
Nadia Nissa ketika menerima anugerah Pelakon Pembantu Terbaik (Filem) di ASK 2011 pada Jumaat lalu. Foto THE STAR Oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS.
Nadia Nissa ketika menerima anugerah Pelakon Pembantu Terbaik (Filem) di ASK 2011 pada Jumaat lalu. Foto THE STAR Oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS.

KUALA LUMPUR: Pelakon Nadia Nissa memberitahu tidak tahu mengenai arah tujuannya dalam dunia lakonan selepas diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) pada Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) pada Jumaat.

Nadia yang baru sahaja selesai menjalani tempoh berpantang selepas bersalin berkata, dia berasa begitu kerana sebelum memenangi anugerah tersebut dia kurang menonjol sebagai pelakon selain jarang muncul dalam media massa.

"Saya selalu merasakan ramai orang belum mengenali siapa saya dan kemenangan ini belum menentukan masa depan saya dalam dunia lakonan.

"Sebab itu saya tidak begitu pasti apakah arah tujuan saya dalam dunia lakonan selepas ini," ujarnya yang ditemui pada sidang media pada Anugerah Skrin 2011 di sini.

Dalam pada itu, ibu muda kepada Omar Saiful Razman ini berkata, cintanya terhadap lakonan tidak pernah lekang walaupun tidak mendapat banyak tawaran.

Katanya, sebagai orang yang masih baru dalam industri perfileman, masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan berharap dapat diberi peluang untuk membuktikan bakatnya sebagai pelakon.

"Saya berharap selepas memenangi anugerah orang akan lebih mengenali saya dan mendapat tawaran berlakon dengan watak-watak lebih mencabar," ujarnya.

Pernah membintangi filem Dukun, Karaoke dan Cun, Nadia memberitahu dia sedang menunggu filem terbarunya berjudul Bara Jiwa arahan Osman Ali yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.

Sementara itu, bercakap mengenai kemenangannya pada malam itu, Nadia berkata, dia terkejut saat diumumkan sebagai pemenang dan menganggap kemenangan itu adalah hasil usaha gigih untuk menjadi seorang pelakon berkebolehan.

"Saya bersyukur dengan kemenangan itu kerana ia adalah filem pertama saya yang membawa watak mencabar sebagai seorang gadis terencat akal.

"Semasa melakukan penggambaran, pengarah filem, Abang Osman berpuas hati dengan lakonan saya dan kemenangan ini adalah rezeki anak," katanya.

Masih berehat daripada dunia lakonan kerana ingin memberikan tumpuan kepada bayi yang baru lahir, Nadia bagaimanapun optimis untuk terus aktif sebagai pelakon kerana cintanya terhadap bidang itu.

Artikel Lain