suria

Ning Baizura Pilih Konsep Bunga di Konsert Ning @KL Live

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Ning Baizura memilih konsep bunga pada konsert Ning @KL Live pada 2 Disember depan di Life Centre, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Kata Ning, dia memilih konsep tersebut kerana bunga memberi banyak inpirasi dalam hidup dan perjalanan kerjayanya selema 18 tahun dalam industri seni.

"Pemilihan konsep ini adalah secara kebetulan apabila dicadangkan oleh seorang jurugambar selepas melihat gambar-gambar saya yang banyak menggunakan elemen bunga.

"Album pertama saya Dekat Padamu juga menggunakan bunga sebagai kulit album, pada saya bunga merupakan konsep terbaik untuk konsert tersebut," katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Ning @ KL Live, di sini, Khamis.

Tambah Ning, konsert berdurasi dua jam setenggah itu akan dibahagikan kepada lima segmen iaitu segmen bunga teratai, bunga matahari, bunga jasmin, bunga mawar dan bunga orked.

"Saya memberi nama segmen-segmen ini dengan nama pelbagai jenis bunga yang menggambarkan darah yang mengalir dalam badan saya.

"Contohnya bunga teratai menggambarkan darah Melayu, bunga matahari melambangkan darah Cina, bunga jasmin melambangkan darah India, mawar sinonim dengan darah Arab dan Jawa, dan bunga orked melambangkan darah Belanda," tuturnya.

Kata Ning, konsert itu juga dianggap sebagai hadiah kepada peminat-peminat selepas kali terakhir beraksi di Konsert Teguh pada 1996 di Stadium Negara.

"Ramai peminat saya yang selalu bertanya tentang konsert ini, jadi konsert ini sebagai satu hadiah kepada mereka.

“Dalam konsert tersebut akan menceritakan perjalanan seni saya selama 18 tahun dalam bidang ini dan saya berharap peminat akan terhibur dengan persembahan saya pada konsert itu nanti," jelasnya.

Selain itu, Ning bakal menyanyikan lebih daripada 20 buah lagu popular yang telah dinyanyikan sepanjang perjalanan seninya dalam industri muzik dalam dan luar negara.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket boleh dilakukan dengan melayari laman web www.tickethotline.com.my pada harga bermula RM150 hingga RM375.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain