suria

Nadia Mustafar Terima Keputusan Mahkamah

Nadia Mustafar.
Nadia Mustafar.
Nadia Mustafar.

PETALING JAYA: Pelakon, Nadia Mustafar menerima keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang mengarahkan dia untuk membayar ganti rugi berjumlah RM50,000 kepada dramatis, Lisdawati.

Nadia ketika dihubungi mStar Online pada Selasa berkata, dia reda dengan keputusan itu dan akan mengemukakan rayuan kepada mahkamah berhubung keputusan itu.

"Pihak mahkamah telah menyatakan saya salah dalam kes itu dan saya terima keputusan itu tetapi saya mempunyai ruang untuk membuat rayuan dengan keputusan itu," ujarnya.

Menurut Nadia, dia mempunyai dua minggu untuk mengemukakan rayuan berhubung keputusan kes itu dan akan melakukannya secepat mungkin.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Lisdawati, Nadia memberitahu dia tidak mempunyai apa-apa masalah dengan aktres itu.

"Saya masih bersalam dan senyum kepadanya jika bertemu di mana-mana majlis tetapi tidak bersembang dengannya," katanya ringkas.

Terdahulu, pada Isnin, Nadia diarahkan membayar ganti rugi berjumlah RM50,000 kepada dramatis, Lisdawati dalam saman fitnah berhubung penerbitan artikel isu hutang di Majalah Media Hiburan, enam tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Yong Zarida Sazali turut memerintahkan supaya Nadia yang membintangi filem Zombie Kampung Pisang untuk membayar faedah pada kadar empat peratus bermula daripada tarikh penghakiman sehingga penyelesaian kes.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain