suria

Masyarakat Perlu Kenali Muzik Orkestra - Rais

Muzik orkestra perlu diberi perhatian lebih daripada masyarakat tempatan. Foto BRIAN MOH
Muzik orkestra perlu diberi perhatian lebih daripada masyarakat tempatan. Foto BRIAN MOH
Muzik orkestra perlu diberi perhatian lebih daripada masyarakat tempatan. Foto BRIAN MOH

KUALA LUMPUR: Masyarakat Malaysia perlu mengenali muzik orkestra tempatan yang semakin kurang diminati lebih-lebih lagi kalangan muda.

Menurut Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, muzik berbentuk orkestra perlu diperluaskan kerana ia mempunyai nilai seni muzik yang tinggi, setaraf dengan muzik orkestra antarabangsa . Ia sepatutnya dihargai oleh semua lapisan masyarakat.

"Kita perlu mempromosikan muzik orkestra di setiap pelosok kawasan tanah air bermula di bandar-bandar kecil sehinggalah ke bandar agar rakyat boleh mengenali dan menilai seni muzik orkestra.

"Ini sekali gus dapat memupuk minat masyarakat terhadap muzik orkestra dan saya percaya cara ini membuatkan orkestra akan terus hidup sampai bila-bila," katanya yang ditemui pada rakaman Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, malam Isnin.

Pada konsert tersebut Rais telah menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Orkestra RTM kepada 11 pemuzik iaitu Zainal Abu, Akhbar Nawab, Datuk Ahmad Nawab, T. Anggapen, Ahmad Kassim, Ruslam Imam, Richard Hoon, Ooi Eow Jin, James Boyle, Alfonso Soliano dan Datuk Ahmad Dassilah.

Dalam pada itu, Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM diadakan bersempena ulang tahun ke-50 orkestra RTM yang akan disiarkan pada 1 November depan, pukul 9 malam, menerusi TV2.

Selain itu, logo baru orkestra RTM turut diperkenalkan dan moto 'Reaching Out' yang antara lain merakyatkan orkestra kepada orang ramai di samping memperkenalkannya ke peringkat antarabangsa.

Konsert selama sejam setengah itu telah dipimpin oleh pengarah muzik Datuk Mokhzani Ismail, Mohd Asnawi Mutaal, Leonard Yap, Azman Mustaffa dan Luqman Abdul Aziz.

Sepanjang persembahan berlangsung, ia terbahagi kepada 10 segmen iaitu “Overture” Merentas Zaman, Titik Permulaan, Variasi Pelbagai Irama, Dari Malam Irama Malaysia ke Malam Putrajaya, Ilham Rasa, Dari Rakyat Untuk Rakyat, Patah Tumbuh Hilang Berganti, Medley Tanah Air, Orkestra dan Bintang serta Gemilang 50.

Antara penyanyi yang turut mengiringi persembahan orkestra tersebut ialah Jamal Abdillah, Shafinaz Selamat, Noryn Aziz dan Andre Goh.

Selain itu, turut hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhayati Ismail.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain