suria

Perubahan Dalam Masa 100 Hari - KP Finas Baru

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baru, Mohd Naguib Razak,42, (gambar) memerlukan masa 100 hari untuk melakukan perubahan terhadap industri perfileman tempatan selepas menerajui perbadanan tersebut 1 September lalu.

Mohd Naguib berkata, tempoh itu diperlukan bagi membuktikan kesungguhannya untuk melihat industri perfileman negara benar-benar mempunyai matlamat dan juga hala tuju sebenar.

“Bagilah peluang kepada saya dalam tempoh seratus hari untuk melakukan beberapa perubahan dalam industri perfileman ini. Tapi perubahan itu bukan secara keseluruhan tetapi secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama editor-editor dan wartawan hiburan di Hotel Ritz Carlton di sini, Isnin.

Turut hadir dua Timbalan Ketua Pengarah agensi tersebut iaitu Fatimah Ahmad (Pembangunan) dan Zulkifli Ab Wahab (Operasi).

Mohd Naguib berkata, sebelum menyertai Finas, dia mendengar pelbagai rungutan dan persepsi negatif mereka yang terlibat dalam industri perfileman sehinggalah beliau mengambil peluang dengan menawarkan dirinya sendiri bagi memenuhi kekosongan jawatan berkenaan yang menjadi kontroversi sejak tahun lalu.

Kata Naguib, permohonannya itu mendapat persetujuan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

“Ketika kecoh pelbagai pihak memperkatakan mengenai jawatan itu, saya menawarkan diri saya sendiri kerana saya tidak mahu melihat industri perfileman menjadi semakin parah apabila ketiadaan Ketua Pengarah.

“Selepas melihat kepada latar belakang saya, pihak kementerian akhirnya bersetuju melantik saya untuk jawatan itu,” jelasnya yang mempunyai pendidikan dalam bidang undang-undang dari Universiti Leeds, England.

Mohd Naguib menambah, dengan pelantikan itu beliau terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Urusan, Blue In Green Production yang banyak terlibat dengan pembikinan filem dokumentari bagi mengelak daripada sebarang konflik kepentingan.

Ditanya apakah hala tujunya sebagai Ketua Pengarah Finas yang baru, beliau berkata, cabaran besarnya adalah untuk melakukan transformasi terhadap industri perfileman selain membawa filem tempatan ke peringkat antarabangsa.

Katanya, industri perfileman pada waktu ini agak sempit dan mereka yang terlibat seperti pengarah dan penerbit filem perlulah pro aktif untuk mendapatkan ruang dan kerjasama pada peringkat antarabangsa.

“Kita perlu membina kerjasama dengan pihak luar jika mahu berjaya. Itu yang akan saya ketengahkan berdasarkan kepada pengalaman saya pada peringkat antarabangsa sebelum ini,” jelasnya.

Selain itu beliau akan turut mempertimbangkan masalah produser filem yang gagal mendapat waktu tayangan yang bersesuaian melalui Syarat Wajib Tayang selain mahu berjumpa dengan pengamal industri perfileman bagi mendengar keluhan mereka.

Mohd Naguib yang menggantikan Mohd Mahyidin Mustakim merupakan individu yang mempunyai pengalaman luas dalam penghasilan dokumentari sehingga diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Antara karyanya yang menembusi festival-festival perfileman antarabangsa ialah Anak Duyung (Yamagata International Documentary Film Festival), The Boat-Maker and The Sea (Discovery Channel), Glass Enclosure: Tokyo Invisible (International Documentary Festival Amsterdam 2005 & International Film Festival Mannheim-Heidelberg 2005), Becoming A King (National Geographic Channel) dan Spellbound of The Mind (Crime & Investigation Network).

Beliau yang pernah bertugas di Astro Shaw dan Asia Broadcating Union (ABU) juga memiliki kemampuan dalam bidang lain seperti penghasilan filem cereka, animasi, penerbitan pengiklanan dan penulisan kreatif.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain