suria

'Michael Jackson Filipina' Rakam Lagu Bahasa Malaysia

Gary Valenciano
Gary Valenciano
Gary Valenciano

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang mendapat jolokan Michael Jackson di Filipina, Gary Valenciano memberitahu selesa merakamkan lagu dalam Bahasa Malaysia untuk album terbarunya.

Gary yang baru sahaja muncul dengan single berjudul 'Ayu' berkata, Bahasa Malaysia tidak mempunyai banyak perbezaan dengan bahasa ibundanya, Tagalog dari segi sebutan dan ejaan.

Penyanyi yang lebih mesra dengan sapaan Gary V itu berkata, dia merakamkan lagu tersebut di Manila selepas mendapat lirik dalam Bahasa Malaysia yang ditulis oleh Fatin manakala susunan muzik oleh Sharon Paul.

"Sejujurnya semasa merakamkan 'Ayu' saya hanya mengambil masa dua jam untuk melengkapkan lagu tersebut kerana tidak beberapa sukar menyebut perkataan dalam Bahasa Malaysia kerana ia tidak banyak beza dengan Tagalog.

"Saya juga turut dibantu oleh seorang kenalan yang mahir dalam kedua-dua bahasa tersebut menjadikan rakaman itu berjalan lancar," ujarnya pada sidang media di Hard Rock Cafe di sini bagi mempromosikan single terbarunya itu, Isnin.

Pada majlis sama, Gary sempat mempersembahkan beberapa buah lagu termasuk ‘Ayu’.

Dalam pada itu, Gary yang telah terlibat dalam dunia nyanyian selama 28 tahun menganggap kehadirannya ke Malaysia sebagai satu rahmat dan berharap peminat di negara ini dapat menerimanya.

"Saya tidak rasa terlambat dan waktu ini adalah yang paling sesuai untuk saya melebarkan sayap ke negara ini," ujarnya yang berusia 47 tahun.

Berhasrat untuk bekerja dengan lebih banyak artis tempatan pada masa akan datang, Gary optimis kolaborasi antara kedua-dua negara akan memberikan manfaat kepada industri muzik.

"Saya ingin bekerja dengan lebih banyak artis di negara ini malah ingin membawa mereka ke negara saya supaya kita sama-sama boleh berkongsi muzik dan mengembangkan lagi industri serantau," ujarnya.

Bakal kembali ke Malaysia pada November depan untuk melancarkan album terbaru di sini, Gary juga bakal mengadakan dua konsert yang bakal dibawakan oleh DiGi Communication dengan kerjasama MUZIKON.

Konsert “Gary V Live in Malaysia 2011” itu bakal merangkumi dua persembahan di Hotel Horizon, Kota Kinabalu pada 12 November depan dan Wisma Fui Chiu, Kuala Lumpur sehari selepas itu.

Pengguna DiGi yang ingin memperoleh tiket percuma pada persembahan itu nanti perlu mendapatkan nilai tambah antara 26 September sehingga 13 November 2011.

Tiket-tiket boleh ditebus di kedai khusus DiGi bertempat di Low Yat Plaza dan Pusat DiGi di Api-Api 1Borneo di Kota Kinabalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain