suria

Linora Low Uji Diri Sebagai Pelakon

MELANGKAH ke dunia hiburan secara rasmi pada tahun lalu sebagai penyampai radio Red FM, Linora Low, 27, (gambar) mengakui jiwanya semakin serasi dengan kerjaya tersebut.

Seorang yang berperwatakan ceria, suka bergurau dan ketawa, Low yakin dengan keputusan yang dibuat untuk bertapak secara serius dalam bidang penyiaran.

“Saya mula berjinak-jinak di bidang seni pada tahun 2007 dengan menceburkan diri dalam beberapa pementasan teater, kemudian mendapat beberapa tawaran berlakon drama dan filem.

“Salah satunya filem Belukar bersama Daphne Iking yang ditayangkan pada tahun lalu. Namun begitu saya sedar bidang lakonan bukan sesuatu yang saya cari kerana saya tidak boleh menjadi diri sendiri berbanding jika bergelar seorang deejay radio,” katanya.

Bagaimanapun, wanita yang berkelulusan ijazah dalam bidang Komunikasi Massa di Monash University ini tidak mahu mensia-siakan bakat lakonan yang ada sebaliknya sentiasa mencari peluang untuk menguji dirinya dalam bidang tersebut.

“Saya seronok berlakon, terutamanya di pentas teater. Biarpun sudah mempunyai kerjaya tetap sebagai deejay, saya masih aktif berteater jika mempunyai kelapangan. “Selain lakonan, saya pernah menjadi pengacara untuk sebuah rancangan sukan di Astro dan pengacara majlis-majlis korporat,” ujarnya.

Dalam pada itu, selebriti serba boleh ini juga pakar dalam menghasilkan laman blog. Selain untuk kepentingan sendiri, Low pernah mereka bentuk laman web untuk penyanyi jaz tempatan iaitu Janet Lee.

Bercerita tentang pengalaman menarik sepanjang bergelar selebriti, Low berkata dia sering kali disapa dengan panggilan “Red FM” oleh peminat-peminat yang tidak tahu namanya.

“Mereka kebanyakannya tidak tahu nama saya dan jika terserempak di luar mereka hanya akan memanggil saya dengan nama Red FM. Walaupun begitu saya tetap terharu. Saya juga seronok melayan kerenah pendengar kerana terpaksa melayan mereka yang mempunyai macam-macam ragam, “ katanya.

Seperti juga keluarga lain, menurut Low, pada awal menceburi bidang ini, bapanya kurang yakin dengan pendapatan yang bakal diperoleh. Namun berkat usaha dan kegigihannya itu, keluarganya sudah mula percaya dan seterusnya memberi sokongan penuh untuk dia aktif bergelar deejay radio.

“Pada mulanya keluarga saya agak bimbang dengan kerjaya sebagai deejay radio. Maklum adik-beradik saya tiada yang terlibat dalam bidang ini. Tetapi lama kelamaannya mereka tahu apa yang saya mahu dan sentiasa menyokong apa juga yang saya,” katanya.

Foto SAUFI NADZRI

Artikel Sebelum

Artikel Lain