suria

Cincin Peminat Pikat Hati Iesya

BERMULA sebagai pengacara, Nor Iesyatirradiah Sanny Toh atau Iesya, 27, (gambar) melebarkan lagi sayapnya dalam bidang seni untuk bergelar seorang penyanyi sejak 2008.

Menerusi single pertamanya, Semanis Janji, Iesya yang juga pengacara rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di TV1 ini turut mengukir nama dalam bidang nyanyian di Singapura memandangkan kerjayanya diuruskan oleh syarikat rakaman Putri Vision dari negara tersebut.

Seiring dengan kelahiran album sulungnya berjudul Impian, Iesya turut melakukan perubahan terhadap penampilannya iaitu dengan mengenakan kasut berbeza bagi kedua-dua kakinya.

Walaupun kelihatan janggal, Iesya tetap dengan pendiriannya untuk mengenakan imej seperti itu lebih-lebih lagi apabila ia mendapat respons yang baik daripada peminat ketika dia membuat persembahan.

Menariknya, selepas memperkenalkan identiti seperti itu, Iesya agak bertuah apabila dilantik sebagai duta pakaian dan kasut di butik Spyke & Sweet Apparel, Novena Mall di Singapura.

Selain kasut, terdapat barangan lain yang menjadi koleksi kesayangan Iesya termasuklah hadiah pemberian peminat yang dirasakan sangat berharga.

Buku biografi

Iesya suka membaca lebih-lebih lagi buku biografi berkaitan pemimpin dalam dan luar negara. Iesya suka mengambil tahu tentang ideologi dan cara pemikiran mereka. Selain itu, melalui pembacaan itu juga mampu mengajar Iesya untuk menjadi seorang yang lebih berdisiplin.

Tali Pinggang

Iesya menyukai tali pinggang. Baginya, tali pinggang boleh menjadi aksesori yang menaikkan seri kepada si pemakai lebih-lebih lagi apabila memilih warna yang kontra daripada pakaian.

Gincu

Terdapat dua jenis warna gincu yang disukai olehnya iaitu merah daripada MAC (Wonder Woman) dan merah jambu (YSL). Walaupun gincu YSL sukar ditemui di mana-mana pusat beli-belah di Kuala Lumpur, Iesya sanggup mendapatkan gincu itu yang hanya boleh didapati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Cincin

Iesya mempunyai banyak koleksi cincin yang dibeli sendiri termasuk hadiah pemberian peminat. Namun, terdapat tiga bentuk cincin pemberian peminat yang sangat dihargainya. Peminat lelaki yang memberikan cincin itu meminati Iesya. Pemuda berasal dari Kedah itu turut meluahkan perasaannya menerusi surat dan gambar yang dihantar setiap kali memberikan hadiah cincin menerusi pos.

Rantai

Rantai manik berwarna ungu ini merupakan pemberian Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar sebagai tanda penghargaan semasa Iesya mengendalikan program masakan berjudul ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang’ di RTM.

Gelang tangan

Hadiah gelang tangan ini merupakan pemberian Datuk Seri Tengku Puteri Zahariah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena Hari Raya Aidilfitri. Iesya merasakan gelang tangan ini sangat cantik dipakai bagi menambahkan seri sekiranya seseorang itu tidak gemar memakai jam tangan. Tetapi sekali pandang pasti orang ingat gelang tangan itu adalah jam.

Cenderamata dan album

Koleksi ini amat berharga daripada Iesya untuk para peminatnya. Iesya juga gemar menyimpan koleksi ini sebagai kenangan hasil kerjanya. Seandainya panjang umur, Iesya ingin berkongsi kenangan ini dengan anak dan cucunya.

Minyak wangi

Antara banyak-banyak minyak wangi, Iesya paling menyukai wangian jenama Wisal dari Mekah yang boleh dipakai sewaktu solat. Ramai rakannya yang bertanyakan tentang wangian itu. Jika dulu, Iesya selalu mengirimkan wangian itu daripada rakannya tetapi kini dia boleh membelinya di Pavilion, Bukit Bintang. Selain itu, dia gemar mengumpul botol minyak wangi yang cantik dan unik.

Kasut

Kasut merupakan barang yang wajib dibeli setiap bulan kerana Iesya gemar memakai kasut berlainan sebelah ketika membuat persembahan dan majlis-majlis tertentu.

Beg tangan

Jenama Louis Vuitton (LV) menjadi pilihan Iesya kerana beg itu tahan lasak serta tidak mudah koyak. Jika rosak, dia akan pergi ke butik LV untuk membetulkan bahagian yang rosak itu atau menukarnya dengan yang baru. Dia lebih mementingkan kualiti dan tidak melihat harga dan jenama sesuatu barangan. Ini kerana dia tertarik dengan cara beg itu dihasilkan iaitu dijahit menggunakan tangan.

Foto SHAARI CHE MAT

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Lain