suria

Awal Kurang Senang Hinaan Zarina Ann-Julie

Awal Ashaari
Awal Ashaari
Awal Ashaari

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Awal Ashaari,30, memberitahu kurang senang dengan tindakan pelakon Zarina Ann-Julie yang menghinanya dengan kata-kata kurang enak di laman Twitter baru-baru ini.

Awal berkata, dia tidak tahu apakah kesalahannya menyebabkan Zarina sanggup mencaci dia serta ibu dan bapanya di laman sosial itu.

"Sejujurnya saya tidak mengenali siapa dia (Zarina) dan tidak pernah bertemunya di mana-mana majlis hiburan sebelum ini. Sebab itu saya tidak faham mengapa dia memburuk-burukkan saya di laman Twitter miliknya," kata Awal ketika ditemui pada majlis pelancaran drama "Cuak" di sini, Selasa.

Zarina dikatakan mengeluarkan kata-kata kurang enak terhadap Awal apabila mengaitkan penahanan pengacara lelaki itu oleh pihak polis dengan Scha Al-Yahya di sebuah kelab hiburan tidak lama dulu.

Ia dipercayai berpunca apabila Awal kononnya dikatakan telah menyentuh satu perkara yang menyebabkan Zarina terasa dalam program hiburan Fuhh! terbitan TV3 yang dikendalikan Awal.

Sementara itu, Awal memberitahu selepas insiden itu dia telah menonton kembali lima episod terdahulu program berkenaan untuk mengetahui jika ada kata-katanya yang menyebabkan pelakon tersebut terasa.

"Saya sudah tengok kembali lima episod program itu tetapi tiada satu episod pun yang mengaitkannya. Malah saya turut bertanyakan pihak penerbit mengenai hal berkenaan dan mereka juga terkejut,” katanya.

Awal berkata, Zarina mungkin bertindak sedemikian kerana ingin mencari publisiti murahan selain berusaha mendapat perhatian ramai.

Sebagai artis yang sudah lama berkecimpung dalam dunia seni, Awal menjelaskan dia enggan melayan perkara remeh seperti itu.

"Saya tidak mengenali dia (Zarina) dan tidak pasti apakah sebenarnya isu dia terhadap saya. Jadi saya rasa saya tidak perlu layan dan cari gaduh dengan sesiapa," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain