suria

Pencuri Pecah Masuk Rumah Keluarga Kamal Adli

PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli mengesyaki pencuri yang memecah masuk rumah keluarganya di Bangi dekat sini kira-kira pukul 5 pagi Jumaat dilakukan oleh individu yang dikenali keluarga mereka.

Katanya, kejadian kali kedua itu merupakan sesuatu yang menghairankan kerana pencuri tersebut mengetahui barang-barang yang diletakkan di tempat tertentu.

"Saya masih lagi dalam keadaan pelik dan hairan kerana pencuri tersebut memasuki rumah saya melalui pintu depan dan mengambil barang-barang komunikasi dan elektronik seperti beberapa telefon bimbit, kamera, Ipad 2, Galaksi tab dan wang tunai.

"Padahal Ipad 2 yang baru dibeli oleh adik saya itu diletakkan di tempat tertentu, saya mengesyaki pencuri tersebut orang yang pernah masuk rumah saya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Kamal anggaran kerugian yang dialami bernilai lebih RM10,000.

Tambahnya, lebih menghairankan apabila tiada seorang pun daripada ahli keluarganya menyedari kejadian tersebut walaupun abangnya baru sahaja pulang ke rumah kira-kira 4 pagi.

"Pencuri itu masuk melalui bahagian depan rumah dengan memecahkan pengunci dan pintu sebelum menyelongkar semua barang-barang yang ada di tingkat bawah rumah mereka.

"Saya pelik kenapa tiada yang sedar kejadian itu kerana abang saya pulang ke rumah pukul 4 pagi dan mereka baru sahaja tidur. Llagi pula kesemua adik beradik saya ada di rumah ketika itu," jelasnya yang ketika itu berada di rumahnya di Ampang.

Tambah Kamal, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bangi sejurus menyedari kejadian tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain