suria

Zahiril Akui Belum Boleh Memilih

PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim yang bakal menamatkan zaman bujangnya dengan pelakon Shera Aiyob pada November depan mengakui masih belum boleh memilih watak dalam drama atau filem mengikut kehendaknya.

Tambah Zahiril, dia mengakui dirinya masih lagi baru untuk terlalu memilih watak biarpun kadang kala dia sedar watak yang dibawanya mampu menjejaskan namanya.

“Setiap pelakon kalau boleh ingin berlakon watak yang memberi kepuasan kepada mereka, terutamanya pelakon yang belajar tentang dunia lakonan,

“Setiap kelakuan, intonasi suara dan pergerakan semuanya mempunyai makna tersendiri,

“Namun buat masa sekarang saya masih baru dan lakonan ini adalah punca rezeki utama saya, jadi saya tiada pilihan selain menerima apa sahaja tawaran berlakon biarpun kadang kala ada watak yang saya tidak suka,” ujarnya.

Tambah Zahiril, apa yang mampu dilakukan ialah menjadikan sesebuah watak tersebut sesuatu yang lain.

“Saya sedar ada juga watak yang saya terima boleh menjatuhkan saya, jika saya menerima watak sebegitu biasanya saya akan cuba untuk beri sesuatu yang membaiki watak tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, dia sedang merancang untuk membuat perniagaan sebagai pendapatan sokongan.

“Memang saya merancang untuk berniaga, memandangkan pendapatan bidang lakonan yang tidak menentu, buat masa ini saya beri sokongan pada Shera yang ingin membuka butik pakaiannya tidak lama lagi,” katanya.

Artikel Lain