suria

Gafim, PFM Kembali Berdamai

Presiden PFM, Datin Paduka Shuhaimi Baba
Presiden PFM, Datin Paduka Shuhaimi Baba
Presiden PFM, Datin Paduka Shuhaimi Baba

PETALING JAYA: Selepas beberapa kemelut timbul di antara Persatuan penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), kini kedua-dua pihak tersebut mencapai kata sepakat untuk kembali berdamai.

Pada 8 Ogos lalu, pihak Gafim dan PFM telah membuat pertemuan damai dan selepas berbincang, kedua-duanya bersetuju untuk memberikan tumpuan dalam menjalinkan kerjasama demi kemajuan industri perfileman tempatan.

Gafim dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya juga menghormati keputusan PFM untuk menarik diri daripada gabungan itu yang kini mempunyai sebanyak 11 buah persatuan.

"Begitu juga dengan pihak PFM, mereka bersetuju dan menghormati keputusan ahli-ahli gabungan memilih barisan kepimpinan baru Gafim," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, Gafim dan PFM akan bekerjasama pada masa akan datang jika memerlukan dua pihak ini bergandingan dalam melakukan projek-projek industri perfileman.

Pada 19 Julai lalu, PFM telah menarik diri daripada bernaung di bawah Gafim setelah mendapati ada sesetengah pihak yang dipercayai “membeli undi” untuk memenangi jawatan dalam persatuan tersebut dalam Mesyuarat Agung Tahunan Gafim.

Sementara itu, berhubung dengan penganjuran Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM24) yang bakal berlangsung pada hujung tahun ini, pihak PFM membuat keputusan untuk tidak terlibat dalam pengurusan FFM24.

Walaupun begitu ahli-ahli PFM yang telah dilantik menduduki jawatankuasa festival tetap akan bertanggungjawab melunaskan kerja masing-masing.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain