suria

Restoran Intai-Intai, Artis Raikan Anak Yatim

Antara selebriti yang memeriahkan majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim anjuran Restoran Intai-Intai.
Antara selebriti yang memeriahkan majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim anjuran Restoran Intai-Intai.
Antara selebriti yang memeriahkan majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim anjuran Restoran Intai-Intai.

MAJLIS berbuka puasa menjadi lebih bermakna apabila ia diraikan oleh mereka yang kurang bernasib baik khususnya anak-anak yatim.

Seperti amalan biasa setiap kali Ramadan, anak-anak yatim dan orang-orang tua akan mendapat perhatian apabila syarikat-syarikat korporat menaja majlis berbuka puasa bagi meraikan mereka.

Restoran Intai-Intai yang terletak di Backyard, Jalan Ampang, Hulu Klang, Kuala Lumpur milik Baha Azman Nor tidak ketinggalan meraikan anak-anak yatim dengan penglibatan para artis.

Kira-kira 48 anak yatim termasuk pelajar tahfiz dari Rumah Jagaan Al-Hidayah, Setapak Kuala Lumpur diraikan dalam majlis yang sederhana pada awal Ramadan lalu.

Keceriaan mereka jelas terbayang apabila berpeluang berjumpa dengan artis kesayangan masing-masing yang turut mengambil peluang berbuka bersama.

Inilah masanya golongan yang kurang bernasib baik itu dapat bertemu para artis yang selama ini hanya ditonton menerusi televisyen sahaja.

Antara artis yang memeriahkan majlis berbuka puasa itu seperti Adam (AF2), Kumpulan V.I.P, Amran Ismail, Zain Saidin, Daus (AF8), Syed Ali, Lena (AF9), Roslan Shah, Rizal, Linda Jasmin, Que Haidar dan pengarah filem pendek Shuhaimi Lua.

Mereka mengambil peluang merapatkan diri dengan golongan yang kurang bernasib baik untuk sama-sama merasai pengalaman beraya dan juga berpuasa sebagai anak yatim.

Menurut Amran, amalan mendekatkan diri dengan golongan tersebut merupakan sesuatu aktiviti yang amat baik apatah lagi pada bulan Ramadan.

“Saya akan bercuti selama sebulan dan akan berkunjung ke rumah anak-anak yatim untuk berjumpa dengan mereka. Ini salah satu amalan yang hendak saya lakukan pada tahun ini,” kata Amran.

Sementara bagi Zain Saidin, golongan yang kurang bernasib baik dapat memberi keinsafan kepada setiap manusia untuk lebih mengenali diri sendiri.

Katanya merapatkan diri dengan golongan berkenaan pada bulan Ramadan mampu membersihkan jiwa daripada perasaan yang tidak baik.

“Apabila kita melihat anak-anak yatim, ia banyak mengajar kita untuk melihat kelemahan dan kekurangan diri sendiri,” katanya.

Perkara itu turut di sokong oleh artis-artis lain yang menggagap bulan mulia ini wajar dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang boleh mendekatkan seseorang dengan masyarakat khususnya golongan yang kurang bernasib baik.

Sementara itu pemilik restoran berkenaan iaitu Baha yang juga bekas warden asrama Akademi Fantasia Ketiga (AF3), restoran berkenaan menyediakan lebih 101 hidangan berbuka puasa dengan konsep atmosfera rumah Melayu.

Selain daripada hidangan berupa pelbagai jenis kuih-muih Melayu, Intai-Intai juga turut memperkenalkan hidangan dari Bangkok, kambing panggang, laksam dan juga nasi kerabu.

Harga bagi seorang ialah RM48. Untuk tempahan dan pertanyaan boleh hubungi Bad 019-6167004.

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

Artikel Lain