suria

Zachery Berpisah Selepas Sembilan Tahun Bercinta

PETALING JAYA: Pelakon Zachery Francis, 34, atau mahu dikenali sebagai Zach Diamond ini baru sahaja berpisah dengan kekasihnya selepas sembilan tahun bercinta.

Pelakon yang terkenal menerusi drama Si Capik dan Duyung Airidinata ini terpaksa meninggalkan wanita itu apabila cintanya didustai kira-kira tiga bulan lalu.

Biarpun hatinya sudah patah untuk untuk mencintai bekas kekasihnya itu, Zach, bekas anggota kumpulan X-Factor ini masih menghulurkan salam persahabatan dan tidak bermusuh.

“Saya tidak mungkin kembali kepadanya sebagai kekasih tetapi kami tidak berniat untuk memusuhi antara satu sama lain. Saya juga tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat ini dan tetap memaafkannya terhadap apa yang berlaku.

“Saya menganggap kami sudah tiada jodoh untuk bersama lagi dan biarlah masing-masing memilih haluan hidup sendiri.

“Andai saya bertemu dengan orang lain, mungkin saya akan terus berkahwin dengan wanita itu dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi.

“Selepas melalui pengalaman pahit ini, saya akan menilai seseorang itu dengan mempelajari karakternya mengikut gerak hati dan akal fikiran,” ujarnya kepada OopStarz!.

Di sebalik kisahnya dengan wanita yang pernah bertakhta di hatinya itu, ada satu hadiah yang masih disimpan untuk diabadikan sebagai kenangan hidupnya iaitu kotak muzik kecil.

Selain itu, Zach turut berkongsi kenangannya dengan kedua-dua datuk tersayang apabila melihat bekas tembaga dan basikal mini.

Kotak muzik

Kotak muzik ini merupakan hadiah pemberian bekas kekasih Zach sewaktu hari jadinya. Waktu itu usia hubungan mereka baru mencecah tiga tahun. Walaupun telah berpisah selepas sembilan tahun bercinta, Zach tetap menyimpan kotak muzik itu sebagai kenangan.

Bekas tembaga

Bekas tembaga ini merupakan pemberian mendiang datuknya bernama Unggang sebelum meninggal dunia pada tahun 2007. Dia sangat manja dengan datuknya itu. Menurut Zach, bekas tembaga itu dipercayai berusia lebih 100 tahun.

Basikal mini

Zach membeli basikal mini hiasan ini sewaktu bercuti di Thailand. Basikal itu sangat unik dan mengingatkan dia kepada datuk sebelah ibunya yang selalu membawanya menaiki basikal mengelilingi kampung di Kuching, Sarawak dan ke kebun semasa kecil dulu. Zach turut terkenang kenakalannya yang suka mencuri duit RM1 dalam poket seluar milik datuknya.

Ukiran kayu

Bekas ini merupakan pemberian peminatnya sewaktu dia masih bersama kumpulan X-Factor.

Bekas letak lilin

Zach agak bertuah kerana tempat letak lilin ini juga di hadiah oleh peminatnya dari Indonesia pada tahun 2001. Sehingga kini, dia masih menghubungi peminat itu melalui laman sosial Facebook miliknya.

Anak patung panda

Sekali lagi, patung ini juga merupakan pemberian peminat cilik dari Singapura. Waktu itu, Zach bercuti di sebuah zoo di negara itu pada tahun 2003. Zach menggemari patung ini kerana ia sangat comel dan dia sering memeluknya apabila tidur.

Robot X-Men

Zach membeli robot ini sejak filem X-Men pertama kali ditayangkan di pawagam. Selain itu, dia meminati karakter Transformers dan sanggup mengeluarkan belanja lebih untuk membeli barangan berkenaan.

Komik superhero

Pemuda ini minat membaca komik sejak kecil. Ketika berada di Kuching, dia sudah menghabiskan ribuan ringgit untuk menempah komik yang hanya boleh didapati di KL Plaza, Kuala Lumpur. Antara superhero yang paling diminati adalah karakter Knight Grey dan Wolverine. Dia juga pernah bercita-cita untuk menjadi seperti karakter superhero itu.

Jam tangan

Tiga buah jam ini memberikan kenangan kepada Zach. Dia memakai jam berwarna biru jenama Alba itu sebelum menyertai X-Factor pada tahun 1999. Jam ini merupakan pemberian kawan baiknya Loke sewaktu bekerja di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Sementara jam kedua yang berjenama DKNY dihadiahkan oleh peminat dari Brunei dan dipakai sewaktu dia menyertai X-Factor. Manakala jam GC dipakainya sekarang. Ia jam pertama yang dibeli pada tahun ini.

Gitar

Gitar ini juga dihadiahkan oleh Loke semasa hari lahirnya pada tahun 1998. Sebelum itu, Zach selalu meminjam gitar daripada rakannya kerana dia gemar menyanyi. Zach juga menggunakan gitar tersebut semasa menghadiri uji bakat nyanyian di KRU Studios dahulu.

Foto RAYMOND OOI

*Artikel dipetik daripada sisipan OopStarz! dalam Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar Sunday Star di sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain