suria

'Saya Orang Melayu Yang Makan Tempe' - Zain Saidin

Zain Saidin
Zain Saidin
Zain Saidin

AMPANG: Pelakon Zain Saidin,27, mahu peminat dan sesiapa sahaja yang ingin menegurnya supaya berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia kerana dia lebih mencintai bahasa itu daripada berbahasa Inggeris.

Kata Zain, walaupun dia berdarah campur iaitu Melayu – Inggeris, tetapi dia bersekolah dan dibesarkan dalam kehidupan orang Melayu.

“Saya orang Melayu yang makan tempe. Saya pun makan rebung. Saya lebih senang dan selesa jika semua pihak bercakap Bahasa Malaysia dengan saya,” ujarnya ketika ditemui mStar Online pada majlis berbuka puasa di Restoran Intai-Intai, Jalan Hulu Klang di sini, Isnin.

Zain berkata, masalah timbul apabila kebanyakan peminat dan orang ramai menganggap dia tidak boleh berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia dengan baik kerana wajah kacukannya.

Menurut Zain, perkara tersebut membuatkan ramai pihak berasa keliru ketika mahu memulakan perbualan dengannya.

“Saya dibesarkan dalam persekitaran Melayu. Saya bersekolah di sekolah kebangsaan malah rakan-rakan juga ramai berbangsa Melayu. Jadi saya lebih suka orang kenal saya sebagai orang Melayu,” ujarnya.

Walaupun mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, ujar adik kepada Sasha Saidin (Elite) ini dia akan mudah mesra jika dapat berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan dan berharap selepas ini orang ramai dapat memenuhi permintaannya itu.

Ditanya sejauh mana kebenaran dakwaan kononnya dia mahu berhijrah ke Indonesia kerana kecewa disebabkan pelakon kacukan sepertinya kurang diberi perhatian, ujar Zain dia bukan merajuk tetapi sekadar ingin mencuba peluang baru.

“Saya bagi tempoh untuk berjaya dalam bidang seni dalam masa tiga tahun. Sekarang dah dua tahun saya melibatkan diri sebagai pelakon.

"Jadi bila masuk tahun ke tiga saya hendak ke Indonesia bagi mencari peluang di sana sekiranya industri seni di negara ini tidak menerima saya kerana watak yang terhad,” jelasnya.

Tambah Zain, bagi mempersiapkan diri menjadi artis yang serba boleh, dia berhasrat menghasilkan album mini tidak lama lagi yang menampilkan enam buah lagu ciptaannya sendiri.

Bagaimanapun sempena kedatangan Syawal ini dia akan menghasilkan "single" Hari Raya terbaru berjudul “Rayeh” berkonsepkan rap yang akan dirakamkan dalam waktu terdekat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain