suria

Peminat Diundang Sambut David Archuleta Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Peminat-peminat juara program American Idol musim ketujuh, David Archuleta diundang untuk menyambut kedatangan penyanyi berusia 21 tahun itu pada Isnin ini.

Archuleta dijangka tiba pukul 12.50 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kedatangannya ke sini adalah bersempena dengan konsert David Archuleta Live In Malaysia 2011 yang akan berlangsung pada Selasa depan pukul 8 malam di Stadium Negara, di sini.

Sebaik tiba, Archuleta bakal muncul di Fahrenheit 88 pada Isnin ini bermula pukul 8 malam untuk sesi autograf bersama peminat.

Pada acara tersebut, penyanyi lagu Crush ini hanya akan menurunkan autograf pada tiket konsert yang dibeli untuk sesi berkenaan sahaja.

Tiket-tiket berharga RM300 (tempat duduk VIP), RM230 dan RM190 (tempat duduk bernombor) serta RM150 dan RM90 (tempat duduk bebas) masih boleh didapati menerusi www.ticketcharge.com.my (Ticket Charge) dan www.airasiaredtix.com (AirAsia RedTix).

Selain itu, tiket-tiket VVIP yang terhad dan istimewa juga boleh didapati. Tiket-tiket tersebut melayakkan peminat mendapat tempat duduk terbaik, sehelai kemeja T, gambar autograf, sekeping poster, album edisi khas The Asian Tour Edition of The Other Side Of Down dan berpeluang untuk turut serta dalam sesi Sound Check Party bersama penyanyi itu.

Bagi menghangatkan lagi kemunculan Archuleta, album edisi khas berjudul The Asian Tour Edition of The Other Side Of Down yang merangkumi pek cakera padat (CD) dan cakera digital versatil (DVD) kini berada di pasaran dengan harga RM49.90.

Penyanyi dari Utah, Amerika Syarikat ini muncul dengan album pertamanya, David Archuleta (2008) yang menampilkan lagu-lagu popular carta termasuk Crush, A Little Too Not Over You and Touch My Hand.

Album terbarunya, The Other Side of Down yang dipasarkan sejak Oktober tahun lalu pula memiliki lagu-lagu popular seperti Something Bout Love dan Elevator.

Populariti Archuleta di Malaysia terbukti menerusi penjualan album-albumnya yang mencecah platinum sebanyak 19,000 unit.

Kunjungan sulung penyanyi itu di Bandar Sunway pada April 2009 berjaya menawan lebih 5,000 peminat.

Dalam pada itu, penyanyi tempatan yang juga naib juara Astro Star Quest 2008 iaitu Hao Ren akan diberi peluang untuk membuka tirai konsert tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain