suria

Rozita Che Wan Tolak Tuduhan Kongkong Shahir

Rozita Che Wan tampil anggun memperagakan kebaya rekaan Ezuwan Ismail pada acara The Blue Kebaya Showcase di The Weld, Selasa. - Foto oleh DARRAN TAN
Rozita Che Wan tampil anggun memperagakan kebaya rekaan Ezuwan Ismail pada acara The Blue Kebaya Showcase di The Weld, Selasa. - Foto oleh DARRAN TAN
Rozita Che Wan tampil anggun memperagakan kebaya rekaan Ezuwan Ismail pada acara The Blue Kebaya Showcase di The Weld, Selasa. - Foto oleh DARRAN TAN

KUALA LUMPUR: Pelakon Rozita Che Wan yang terus dikatakan menjalin hubungan cinta dengan penyanyi Ahmad Shahir Zawawi (Shahir AF8) menolak tuduhan kononnya dia terlalu mengongkong penyanyi itu sehingga menyebabkan Shahir membatalkan aktiviti seninya pada saat-saat akhir.

Kata Rozita, walaupun berasa rimas kerana terus dikaitkan dengan penyanyi berusia 24 tahun itu, dia cukup terbuka dan memberikan kerjasama sebaik mungkin setiap kali diajukan pertanyaan tersebut.

"Kalau diikutkan saya memang rimas dan letih kerana terus dikaitkan dengan cerita-cerita begini yang tidak pernah berkesudahan. Tuduhan itu sebagai sesuatu yang tidak berasas.

“Namun, saya memberikan kerjasama dengan menjawab sebarang pertanyaan kontroversi yang mengaitkan diri saya dengan sebaik mungkin," katanya yang ditemui pada acara The Blue Kebaya Showcase di pusat beli-belah The Weld, di sini, Selasa.

Rozita memberitahu, tuduhan terbaru itu adalah sesuatu perkara yang tidak benar sama sekali kerana tiada sebab untuk dia mengongkong kerjaya seni orang lain.

Malah menurut Rozita, dia sendiri tidak mengetahui jadual kesenian Shahir selain tidak pernah masuk campur dalam apa juga urusan yang berkaitan dengan aktivitinya.

"Secara logiknya, kenapa pula saya hendak kawal atau kongkong dia? Saya pun tidak tahu-menahu tentang jadual kerjanya, apatah lagi untuk mengongkong dia.

"Saya tidak pernah kawal Shahir, kehidupan atau kerjayanya. Itu adalah urusan peribadinya dan tiada kena-mengena dengan saya pun," katanya lagi.

Ditanya tentang perkembangan kerjayanya, Rozita berkata, dia akan terus sibuk dengan beberapa komitmen lakonan menjelang bulan Ramadan pada awal bulan depan.

"Saya akan memulakan penggambaran drama untuk TV9 mulai esok dan ada beberapa projek drama lain lagi.

"Sepanjang Ramadan ini, saya akan terus sibuk dengan beberapa komitmen lakonan juga," katanya yang bakal muncul dengan beberapa drama Raya termasuk Pontianak Baru Kampung Batu, Kiah Pekasam dan Jaguh Kampung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain