suria

Pasangan Sarah Juarai 'Mari Menari 2'

Pasangan Sarah menjulang trofi dan memenangi wang tunai sebanyak RM150,000 sebagai juara Mari Menari musim kedua di Astro Ria malam Ahad. - Foto ROHAIZAT DARUS
Pasangan Sarah menjulang trofi dan memenangi wang tunai sebanyak RM150,000 sebagai juara Mari Menari musim kedua di Astro Ria malam Ahad. - Foto ROHAIZAT DARUS
Pasangan Sarah menjulang trofi dan memenangi wang tunai sebanyak RM150,000 sebagai juara Mari Menari musim kedua di Astro Ria malam Ahad. - Foto ROHAIZAT DARUS

BUKIT JALIL: Pasangan Sarah muncul juara program tarian Mari Menari musim kedua (MM2) pada peringkat akhir yang berlangsung di Studio 1, Astro, di sini, malam Ahad.

Pasangan dari Sabah yang dianggotai oleh Sarah Diana Michele Durai, 32, dan adiknya Shazrul Hudson Ashley Durai, 18, itu mendapat 56 peratus undian penonton.

Manakala pasangan Nita akur di tempat kedua selepas mendapat undian 44 peratus pada malam kemuncak yang bertemakan Bollywood, Latin dan Battle (Fusion Dance) itu.

Selaku juara, pasangan Sarah membawa pulang hadiah wang tunai RM150 ribu, pakej percutian empat hari tiga malam di Hard Rock Bali, pakej penerbangan tajaan Mustwin Sdn Bhd dan trofi.

Mengulas tentang kemenangan tersebut, Sarah berkata, dia terkejut dan tidak menyangka akan dipilih sebagai juara memandangkan mereka turut mendapat saingan sengit daripada pasangan Nita.

"Kami sangat gembira dan tidak sangka akan menang walaupun mendapat saingan sengit daripada pasangan Nita yang sememangnya bagus.

"Terima kasih kepada pihak Astro di atas peluang, para pengundi dan kritikan juri yang sangat membantu sehingga kami bergelar juara," katanya yang merancang untuk meneruskan karier menari.

Pasangan Nita pula mendapat pakej percutian empat hari tiga malam di Hard Rock Bali, pakej penerbangan tajaan Mustwin Sdn Bhd dan trofi.

Pada malam akhir, pasangan Sarah mempersembahkan tarian lagu Dhol Baje (Bollywood) dan Papa Americano (Latin).

Pasangan Nita pula tampil dengan tarian lagu Jalwa (Bollywood) dan La Bomba (Latin).

Kedua-dua finalis ini berentap dalam tugasan ketiga menerusi lagu KRU, Mahaguru untuk tema Battle (Fusion Dance).

Pasangan Sarah berada di bawah kumpulan pereka tari Ray manakala pasangan Nita pula mendapat bimbingan Belalang.

Persembahan selingan dijayakan oleh penyanyi Siti Sarah dan suaminya juga pelawak Shuib Sepah yang menyampaikan lagu Seiring Sejalan.

Malam kemuncak MM2 yang dihoskan oleh Awal Ashaari dan Lisa Surihani itu diadili oleh Joseph Gonzalez, Harith Iskander, Vanidah Imran dan juri undangan Sofea Jane.

Pada aksi separuh akhir malam Sabtu, pasangan Mizi (tempat ketiga) dan Faiz (keempat) masing-masing menerima hadiah pakej percutian empat hari tiga malam di Hard Rock Bali, penerbangan tajaan Mustwin Sdn Bhd dan trofi.

Persaingan musim ini yang bermula sejak 21 Jun lalu berlangsung selama lima minggu pada setiap Sabtu dan Ahad pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain