suria

Shiela Abdull Kecewa Kerana Masih Belum Popular

KUALA LUMPUR: Penyanyi Shiela Abdull mengakui agak terkilan dan kecewa kerana masih belum dapat mengilap namanya di pentas seni suara biarpun sudah hampir tiga tahun berada dalam industri seni ini.

Jelas Shiela, dia sedar bukan mudah untuk mencapai impian dan berada sebaris dengan nama-nama yang sudah dikenali, namun dia tidak pernah patah semangat sebaliknya akan terus mencuba.

"Bohonglah kalau kata saya tidak terkilan dengan semua yang terjadi, tapi saya juga faham artis semakin ramai dan bukan mudah untuk meletakkan diri kita di tempat yang selesa.

"Tapi saya tidak anggap perkara tersebut berterusan negatif, saya sudah pun keluar dengan “single” Pengkhianat Cinta dan akan keluar dengan dua lagi “single” baru," ujarnya ketika ditemui di rakaman Konsert Raya 1 Malaysia, di sini, Selasa.

Sedar dengan kerjaya artis yang tidak menentu, Shiela turut terlibat dalam Program Khas Pengajian Luar Kampus (PLK) bagi kursus Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian (PLK) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Saya banyak tumpukan perhatian untuk habiskan masa dengan pengajian terlebih dahulu kerana bagi saya ia adalah untuk masa hadapan yang kita tidak tahu.

"Sekurang-kurangnya apabila tidak berada dalam industri ini, kita boleh bergantung dengan ijazah yang ada," katanya yang pernah popular dengan lagu Mungkinkah ciptaan Adnan Abu Hassan.

Selain itu, ditanya tentang bidang lakonan, kata Shiela dia tidak bersedia untuk menceburi bidang tersebut.

"Ada juga beberapa tawaran berlakon drama tetapi terpaksa ditolak kerana saya memang tidak pandai berlakon,

"Saya malu untuk bercakap di hadapan kamara sambil diperhatikan orang ramai," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain