suria

Jehan, Freddie Bidas Kenyataan Ziana Zain

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Jehan Miskin menganggap dakwaan penyanyi Ziana Zain yang mendakwa penglibatan golongan selebriti dalam mana-mana persatuan artis sebagai buang masa adalah satu kenyataan yang tidak berasas.

Jehan berkata, mana-mana pihak termasuklah Ziana Zain tidak sewajarnya mempersoalkan peranan yang dimainkan oleh sesebuah persatuan kerana penubuhannya mempunyai objektif tertentu selain memerlukan sokongan daripada banyak pihak terutamanya golongan artis-artis muda.

"Saya akui memang agak sukar sesebuah persatuan artis itu untuk beri bantuan terutamanya dari segi kewangan kerana dana yang ada bukan besar tapi sekurang-kurangnya kami mencuba.

"Kenyataan tentang penubuhan sesebuah persatuan itu tidak berfaedah dan buang masa adalah tidak tepat sama sekali. Kami sentiasa berusaha untuk mencari jalan membantu golongan artis biarpun sekadar yang kami mampu," jelasnya.

Jehan diminta mengulas tentang kenyataan penyanyi popular Ziana Zain dalam mStar Online pada 8 Julai lalu yang menganggap persatuan-persatuan artis di Malaysia hanyalah buang masa.

Dalam kenyataan itu Ziana juga berkata artis boleh bersatu tanpa menyertai pelbagai persatuan yang lebih dilihat hanya mempunyai kepentingan peribadi.

Jehan yang juga Ketua Biro Perundangan, Pemantauan dan Aduan persatuan itu berkata, sebagai generasi muda yang aktif dalam persatuan, dia menganggap aktiviti tersebut bukan sesuatu yang buang masa malah lebih mengeratkan silaturahim.

"Kita tidak boleh mengatakan dia (Ziana) salah kerana itu adalah pendapat dia tapi bagi saya penubuhan sesebuah persatuan mampu mengeratkan hubungan sesama artis melalui aktiviti yang dianjurkan.

"Pernah kami pergi ke rumah seorang artis veteran untuk memberi sebuah kerusi roda sahaja tetapi dia sangat menghargai sumbangan tersebut sehinggakan kami semua mengalirkan air mata," ujarnya yang sudah menjadi ahli Seniman sejak mula membabitkan diri dalam industri seni tanah air.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh penyanyi yang popular dengan lagu Dingin itu merupakan pandangan peribadi yang keterlaluan.

Katanya, dia seharusnya memikirkan kepentingan artis-artis lain yang tidak sepertinya dan tidak hanya berfikir bagi pihak diri sendiri sahaja.

"Itu adalah pandangan peribadi dia, mungkin kerana dia tidak mengalami sebarang masalah atau memerlukan bantuan daripada mana-mana persatuan sepanjang bergelar artis.

"Memang saya lihat segelintir artis yang bertaraf tinggi seperti dia tidak menghiraukan tentang kegiatan persatuan. Itu adalah hak mereka tapi mereka tidak seharusnya membuat kenyataan keterlaluan dan meminta persatuan dibubarkan," ujarnya kesal.

Kata Freddie, biarpun usaha-usaha yang dilakukan tidak memberi impak atau terlihat dengan mata kasar, namun sedikit sebanyak membantu para artis yang memerlukan.

"Kami tahu ramai yang tidak sedar tentang apa yang telah kami lakukan tapi sebenarnya kesan usaha kami dilihat dalam jangka masa panjang.

"Contohnya memperjuangkan royalti artis, mengurangkan pemutaran lagu-lagu Indonesia di stesen-stesen radio dan memberi bantuan kewangan kepada artis-artis yang memerlukan," jelasnya.

Kata Freddie disebabkan pandangan-pandangan dan persepsi artis sebegini boleh mempengaruhi golongan artis muda yang lain.

"Persatuan wujud sebagai orang tengah dan tempat untuk artis bergantung, jika dia tidak memerlukan bantuan persatuan masih ada artis lain yang menyokong kami," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain