suria

Komedi, Emosi Kekuatan Mak Dara Nyonya

Salah satu babak dalam teater Mak Dara Nyonya
Salah satu babak dalam teater Mak Dara Nyonya
Salah satu babak dalam teater Mak Dara Nyonya

BAGI yang terbiasa dengan atmosfera teater muzikal, pastinya bayangan sebuah naskhah teater totok atau sejati pantas mengundang persepsi hambar dan bosan.

Harus diakui rasa yang sama turut menguasai tumpuan terhadap teater berjudul Mak Dara Nyonya (MDN) ini pada malam Rabu lalu.

Karya bersama Siti Rohayah Attan dan Wisran Hadi ini bermula dengan rentak yang longlai seakan memberi petanda kelam terhadap pementasan keseluruhan.

Namun, yang menariknya perjalanan MDN terus meningkat daripada satu plot ke satu plot sepanjang lebih dua jam ia dipentaskan.

Menjelang 30 minit cerita disampaikan, momentum teater ini makin ampuh dan mula mengikat perhatian untuk turut sama menyertai penceritaannya.

Sebagai sebuah teater, MDN bukan sebuah naskhah yang dipentaskan atas kombinasi skrip segar sepenuhnya.

Ia dibentuk atas gabungan kejayaan teater Nyonya tulisan Wisran Hadi yang pernah dipentaskan empat kali sebelum ini dan skrip baru yang berinspirasi seorang wanita tabah bernama Halimah Shuib atau Mak Dara nukilan Siti Rohayah Attan.

Dalam kaedah penyampaian skrip yang panjang berjela dan meleret pada sesebuah babak itu, sulaman dialog yang mencuit hati dan beremosi berjaya mengimbangi kebosanan itu.

Mungkin jika hendak dibandingkan antara plot Nyonya dan Mak Dara, kelebihan pastinya menjurus ke arah kisah Nyonya yang lebih diwarnai elemen humor.

Pun begitu, nadi kekuatan plot Mak Dara terletak pada perjalanan hidup wanita itu yang beronak-duri dan penuh emosi.

Apatah lagi, penceritaannya disampaikan oleh aktres Juhara Ayob yang menggalas watak Mak Dara atau Ibu Halimah dengan berkesan dan penuh jiwa.

Walaupun plot Mak Dara sarat dengan skrip dan bergerak perlahan berbanding kisah Nyonya yang lebih ceria, kekuatan lakonan Juhara Ayob adalah nyawa cerita itu.

Sementara plot Nyonya yang ditunjangi Sherry Abdullah pula ada kalanya merengsakan juga menerusi beberapa jenaka dan gestur keterlaluan yang dipertaruhkan. Kita mungkin akan ketawa terbahak-bahak dengan dialog komedi tetapi apabila jenaka berbaur seksual itu diungkapkan berulang-kali ia secara tidak langsung menyakitkan hati juga.

Selain Sherry, kelibat pelakon-pelakon seperti iaitu Zaifri Husin (Tuan), Norzizi Zulkafli (Keponakan A) dan Misha Omar (Keponakan C) sahaja yang memuaskan.

Sementara, aksi Sarimah Ibrahim (Keponakan B) dan Fara Fauzana (Isteri) pula hanya berada pada tahap sederhana.

Persembahan MDN yang disampaikan secara berselang seli antara kisah Nyonya dan Mak Dara adalah satu pendekatan yang layak dipuji kerana berjaya mengimbangi aspek emosi dan jenaka.

Jika disukat pada nilai komersial dan material, MDN memang tidak segah mana. Penggunaan peralatan (prop) dan reka letak pentas dibina atas skala minimum tetapi efisien.

Bagaimanapun, keutuhan skripnya yang menarik, terperinci dan penuh rasa itu meninggalkan impak tersendiri.

Diarahkan oleh pengarah teater Rosminah Tahir, produksi terbitan CTRA Production dengan kerjasama syarikat Jamu Mak Dara Sdn Bhd ini dibintangi oleh Juhara Ayob, Sherry Abdullah, Misha Omar, Sarimah Ibrahim, Zaifri Hussain, Norzizi Zulkafli dan Fara Fauzana.

MDN dipentaskan bermula 6 hingga 12 Julai ini pada pukul 8.30 malam di Auditorium, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

* Artikel ini dipetik dari akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star, sekitar Lembah Klang.

Artikel Lain