suria

Dayang Nurfaizah Harap Masyarakat Ubah Persepsi Terhadap pesakit HIV/AIDS

Dayang menyampaikan mesej tentang penyakit HIV/AIDS menerusi persembahan yang diadakan. Foto SHAARI CHE MAT
Dayang menyampaikan mesej tentang penyakit HIV/AIDS menerusi persembahan yang diadakan. Foto SHAARI CHE MAT
Dayang menyampaikan mesej tentang penyakit HIV/AIDS menerusi persembahan yang diadakan. Foto SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Penyanyi Dayang Nurfaizah menyarankan kepada masyarakat supaya tidak menjauhi pesakit-pesakit HIV/AIDS.

Menurut Dayang yang merupakan antara selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia (MAC), ramai yang takut untuk mendekati pesakit-pesakit berkenaan kerana takut jika mereka turut dijangkiti.

"Sebenarnya ramai yang tidak faham bahawa penyakit ini tidak mudah dijangkiti jika tahu cara-cara penjagaannya dan ia sangat mudah untuk difahami.

"Saya percaya, apabila masyarakat mula faham, mereka tidak akan cuba menjauhi sesiapa yang mengalami penyakit HIV/AIDS. Malah turut membantu untuk menaikkan semangat pesakit-pesakit berkenaan," katanya.

Tambah Dayang, kini dia sedang membuat misi untuk menyebarkan maklumat penyakit merbahaya itu sebanyak yang mungkin kepada peminat-peminatnya serta masyarakat luar yang lain.

Justeru itu, sebagai selebriti yang menyokong MAC, Dayang menyebarkan maklumat tersebut menerusi persembahan-persembahan (showcase) yang diadakannya.

"Saya rasa, melalui persembahan showcase adalah cara yang paling mudah dan dekat untuk menyampaikan mesej ini kepada peminat-peminat.

"Lagipun, misi saya bukan untuk mengumpulkan dana, tetapi menyampaikan mesej yang sangat penting buat orang ramai kerana jika mereka salah faham, yang akan merana adalah pesakit-pesakit HIV/AIDS dimana mereka akan dipinggirkan masyarakat tanpa sebab," ujarnya.

Sementara itu, pada Sabtu lalu, Dayang baru sahaja mengadakan persembahan showcase Sayang & Cinta yang dianjurkan oleh Maybank Berhad & Hard Rock Cafe bagi menyokong MAC di Hard Rock Cafe.

Selain daripada mempromosikan album terbarunya menerusi persembahan nyanyian yang hebat, Dayang turut menyampaikan mesej-mesej kesedaran HIV/AIDS kepada peminat-peminat.

"Pada showcase akan datang yang diadakan di Victoria Arms, Merdeka Palace Kuching Sarawak, 6 Julai ini, saya juga akan menyebarkan maklumat tentang penyakit itu.

"Saya tahu, tidak perkara yang boleh dilakukan untuk membantu MAC, tetapi menjadi tanggungjawab saya untuk menyebarkan maklumat apa sahaja yang saya tahu kepada umum.

"Selain mengelakkan diskriminasi terhadap pesakit-pesakit HIV/AIDS, melalui mesej ini juga umum dapat melindungi diri dan orang yang tersayang daripada penyakit tersebut," tegasnya.

Artikel Berikut

Anggun Tidak Lupa Asal Usul

Artikel Lain