suria

Neelofa Tidak Gusar Dihimpit Kontroversi

BAGAI sudah menjadi trend pula, asalkan ada rupa dan berpotensi pasti akan diasak kontroversi melalui gosip-gosip yang muncul berbanding hasil kerja.

Untuk kesekian kalinya, pola yang sama turut berlegar dalam diri pendatang baru Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa).

Belum pun genap setahun bergelar pelakon, gadis yang mesra disapa Lofa ini bagai sudah jenuh dibelit rantaian kontroversi.

Segala macam dakwaan liar hinggap ke tubuh mulusnya termasuklah ditohmah sebagai perampas, penipu, kaki berangan, menagih publisiti murah, gemar bersengketa dan tidak berdisiplin.

Bukan satu dua kata nista yang terpaksa ditelan tetapi menerusi pengakuannya kepada OopStarz! baru-baru ini, Neelofa cukup tenang mendepani kekalutan itu.

“Gosip dan kontroversi yang melanda adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Apa yang terjadi berada di luar kawalan dan bukannya salah saya.

“Saya adalah mangsa keadaan dan hasad dengki orang yang tidak boleh melihat kesejahteraan dan pencapaian orang lain,” terangnya.

Sebagai muka baru, Lofa berkata, bukan dipintanya segala kontroversi melanda diri. Jauh sekali untuk dia menjadikan cerita buruk itu sebagai strategi melonjakkan nama.

“Sering kali orang bertanya sejauh mana kebenaran setiap dakwaan itu namun apa yang boleh dikatakan kenapa pula saya harus mencipta kontroversi semata-mata untuk popular?

“Saya masih lagi waras untuk membezakan tindakan yang wajar dan sebaliknya. Tidak mungkin saya sanggup mencalar maruah dan reputasi hanya untuk dikenali dengan cepat,” katanya.

Hikmah di sebalik gosip

Mendengarkan jawapan itu, pelakon filem Azura 2011 ini lantas diaju pertanyaan apakah dia melihat segala kecaman itu sebagai sesuatu yang adil buatnya?

Jawabnya, “Memang saya pernah terfikir mengapa diri ini kerap diuji dengan cerita-cerita negatif. Namun, apabila saya renungkan dari sudut lain, banyak hikmah yang berlaku pada kerjaya saya yang baru berkembang ini.

“Makin hebat dugaan dan gosip singgah, semakin banyak tawaran dan peluang lakonan pula diterima. Jadi saya menerima ujian ini dengan redha.”

Seoptimis pendiriannya, Neelofa selesa memilih pendekatan untuk bersikap tenang dan bijak mengatasi tekanan yang menghimpit.

“Saya belajar untuk tidak mudah mempercayai orang dan peka serta berhati-hati dengan persekitaran. Walaupun kontroversi itu pedih tetapi ia adalah guru terbaik yang membuka lembaran baru dalam kehidupan saya.

“Selepas enam bulan menceburi bidang ini, percaya atau tidak segala kontroversi ini sebenarnya menjadikan saya lebih kuat dan dapat melihat warna sebenar kehidupan,” katanya.

Shahz Jaszle hanya teman rapat

Diimbas semula enam bulan yang lalu, gosip hubungannya dengan aktor Shahz Jaszle adalah punca awal yang mengheret nama Lofa ke lembah kontroversi.

Susulan daripada jolokan perampas yang dihamburkan kerana menjadi punca keretakan hubungan cinta aktor kacak itu dengan aktres Maria Farida, Lofa terus dihujani pelbagai cerita kurang enak.

Kini, selepas setengah tahun cerita itu meletus, penafian Lofa terhadap hubungannya dengan aktor itu terus dianggap sebagai omong kosong.

Apa yang berlaku depan mata adalah keintiman dan kemesraan mereka di majlis-majlis hiburan dan di khalayak seakan mengiyakan persepsi bahawa mereka sedang menjalin hubungan.

Tika perkara itu diajukan, Lofa dengan gestur bersahaja sempat tergelak sebelum membalas.

“Saya sudah tidak kisah dengan apa juga persepsi dan telahan orang terhadap kisah saya dan Shahz. Saya akui kami rapat sebagai rakan karib kerana keserasian itu.

“Namun, tidak sampai ke tahap bercinta seperti yang disangkakan. Hanya kami saja yang mengetahui cerita sebenar, jadi terpulanglah kepada orang sama ada untuk mempercayainya atau tidak,” jawabnya.

Tidak akan mengalah

Akuinya lagi, pada fasa ini dia sebenarnya sudah jelak dan bosan dengan tohmahan yang dikaitkan dengan namanya.

Namun, atas niat yang tulus untuk mencanai potensi diri dalam bidang seni serta sokongan keluarga dan peminat, dia takkan mengalah untuk terus berjuang.

Semua cerita yang sudah berlaku atau mungkin berulang pada hari muka tidak akan menggugat objektifnya menceburi bidang seni.

“Saya tidak akan pernah mengalah atau berputus asa. Ini jalan yang saya pilih dan saya benar-benar serius dalam bidang ini.

“Sebenarnya, semua kesulitan itu lebih mudah dilalui apabila saya mengambil pendekatan tidak kisah dan menganggapnya sebagai perkara remeh-temeh.

“Setiap yang berlaku itu ada baik buruknya. Jika benar ada salah saya di mana-mana, saya akan perbaiki. Namun, apabila gosip itu tidak benar, saya hanya mampu pasrah dan berserah saja,” luahnya.

Foto KEVIN TAN Solekan SITI (012-3025233)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain