suria

Nikki & Jed Keserasian Melalui Suara

PADUAN dua vokal penyanyi Malaysia dan Filipina bukan perkara baru dalam industri muzik serantau.

Bermula dengan duet penyanyi Noryn Aziz (Malaysia) dan Christian Bautista (Filipina) menerusi lagu Anugerah Cinta pada tahun lalu, kolaborasi seumpama itu diteruskan dengan duet Hazami (Malaysia) dan Kyla (Filipina) untuk lagu berbahasa Tagalog iaitu Hanggang Wakas pula.

Dalam lingkungan atmosfera muzik serantau yang serba nazak ini, usaha syarikat rakaman Muzikon ini diteruskan pula dengan gandingan terbaru penyanyi tempatan Nikki Palikat dan Jed Madela (Filipina) dalam lagu Antara Kita yang digubah semula daripada lagu Tagalog, Kailangan Kita ciptaan Ogie Alcasid.

Bercerita tentang projek duet itu, Nikki dan Jed mengakui mereka saling mengagumi kehebatan vokal satu sama lain dalam melaksanakan proses rakaman lagu sepanjang tempoh dua bulan.

Menurut Nikki, sejak menceburi bidang nyanyian secara profesional enam tahun lalu dia sudah menanam impian untuk berduet dengan penyanyi-penyanyi hebat dari rantau ini.

Justeru itu, apabila Muzikon menawarkan projek berkenaan, Nikki, 25, tidak berfikir panjang untuk menerima peluang keemasan itu.

“Projek duet dengan Jed Madela adalah satu tawaran keemasan yang tidak boleh dilepaskan. Apabila pihak Muzikon menawarkan projek ini, saya tidak berfikir panjang untuk menerimanya.

“Saya melihat projek ini sebagai platform terbaik untuk membuat kemunculan semula ke industri muzik selepas dua tahun berehat kerana melahirkan anak,” kata isteri kepada komposer muzik Audi Mok ini.

Pasangan duetnya, Jed Madela pula bukan calang-calang penyanyi. Di Filipina, pemuda berusia 30 tahun ini cukup terkenal dan diperakui sebagai antara penyanyi terbaik di sana.

Jed menerima tawaran ini atas dasar untuk meluaskan perjuangan muziknya di Malaysia.

Maka, penyanyi ini mencabar dirinya untuk menyanyi dalam bahasa Malaysia sebaik yang mungkin.

“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk memahami dan mempelajari bahasa Malaysia. Dengan bimbingan seorang guru bahasa, saya dapat memahami dan mengingati lirik lagu ini kurang daripada dua jam.

“Mungkin kerana saya seorang yang mudah belajar perkara baru walaupun pada awalnya agak mencabar juga untuk menyebut bait-bait lirik lagu ini dengan betul,” katanya yang sudah memiliki enam buah album.

Menariknya tentang gandingan ini, bermula dengan pemilihan lagu sehingga bernoktahnya proses rakaman, kedua-dua mereka tidak pernah bersemuka.

Sudah namanya profesional, mereka menjiwai lagu dan membina keserasian untuk rakaman ini secara berasingan sehinggalah bertemu buat julung kalinya pada hari pelancaran lagu itu di ibu negara, Rabu lalu.

“Proses rakamannya berlaku secara berasingan. Saya memasukkan bahagian vokal saya di Kuala Lumpur dan disusuli oleh vokal Jed di Manila.

“Selepas itu, saya merakamkan semula vokal saya agar selaras dengan vokal Jed. Sharon Paul selaku penyusun muzik membuat proses akhir dengan mengadun beberapa elemen lain untuk mencantikkan lagu ini,” kata Nikki yang tidak berdepan kesulitan untuk merakamkan lagu itu.

Bagi Jed pula, selain berdepan cabaran untuk menguasai bahasa Malaysia, dia mengakui berdebar dan tertanya-tanya siapakah gerangan pasangan duetnya.

“Sebelum berduet, saya memang berdebar untuk menantikan rakaman vokal daripada Nikki. Tertanya-tanya juga saya sejauh manakah kualiti penyanyi itu dan bagaimana penjiwaannya untuk lagu ini.

“Ternyata keputusan untuk menerima tawaran ini adalah tepat selepas mendengarkan vokal Nikki. Dia seorang penyanyi yang hebat dengan kualiti vokal terbaik yang pernah saya dengar, sekali gus memudahkan penjiwaan untuk mengadunkan vokal saya pula,” katanya.

Lagu Antara Kita dimuatkan dalam album Jed iaitu Between Us yang kini boleh didapati di gedung muzik Rock Corner.

Bersempena pelancaran projek duet ini, Muzikon dengan kerjasama Digi Telecommunications (Digi) turut bekerjasama dalam menganjurkan program DiGi Jelajah Sabah 2011 - Jed Madela dan Nikki Tour.

Menerusi siri jelajah selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Jun ini, Jed dan Nikki tampil menghiburkan peminat di Sabah iaitu iaitu di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu (24 Jun), Kompleks Karamunsing (25 Jun) dan di Eastern Mall, Tawau (26 Jun).

Tidak bernoktah di sini, jalinan karyawan muzik serantau ini akan diteruskan untuk beberapa projek lain yang menyusul selepas ini.

Menurut Pengarah Urusan Muzikon, Richard Voon, sekurang-kurangnya mereka sudah menyiapkan 10 buah lagu duet penyanyi-penyanyi serantau dan hanya menunggu giliran untuk dipasarkan.

Sama ada Antara Kita mendapat sambutan hangat atau sekadar suam-suam kuku, apa yang diharapkan agar langkah proaktif ini terus bergerak tanpa mengira siapa jua yang mengemudi usaha seumpamanya.

Mungkin ia tidak mampu untuk mengembalikan sepenuhnya kerancakan industri muzik seperti dulu atau mengaut pulangan lumayan, tapi setidak-tidaknya penyokong muzik tempatan boleh menghela nafas lega menyedari penggiat muzik kita tidak pernah berputus asa.

Foto RAYMOND OOI Solekan SYNTHESIS Pakaian BUTIK KEY NG, MID VALLEY, KL

Solekan SYNTHESIS

Artikel Lain