suria

Mizz Nina Berduet Dengan Artis Amerika

PETALING JAYA: Khabar angin mengenai penyanyi Mizz Nina akan berduet dengan penyanyi Hollywood, Justin Timberlake akhirnya terjawab apabila penyanyi itu sebenarnya berduet dengan penyanyi hip hop antarabangsa, Flo Rida dengan single lagu Take Over,

Menurut Nina, khabar angin tersebut adalah tidak benar dan dia tidak pernah berbincang dengan pihak pengurusan Justin bagi sebarang perancangan duet.

"Isu mengenai kolaborasi dengan Justin adalah khabar angin semata-mata. Dan ya, saya sudah pun bekerjasama dengan Flo Rida menerusi lagu terbaru Take Over.

“Saya berasa amat bertuah kerana dapat berduet dengan Flo Rida untuk single terbaru ini tambah pula dia seorang yang popular di kalangan penyanyi-penyanyi Amerika Syarikat. Harap-harap, Take Over dapat diterima ramai dan kami akan cuba 'menggegarkan' dunia menerusi lagu ini," kata Nina.

Tambah tunang kepada vokalis Hujan, Noh Salleh itu, dia berharap lagu genre R&B, hip hop dan dance itu diterima umum seperti lagu single solo pertamanya, What You Waiting For (duet dengan Colby O'Donis).

Kini lagu tersebut telah pun berkumandang di semua stesen radio tempatan dan sedang menaiki carta muzik paling popular.

Selain itu, Nina dan Flo Rida telah pun mempersembahkan lagu Take Over itu pada konsert Flo Rida di Bangkok dua minggu lalu dan lagu tersebut mendapat perhatian daripada penonton-penonton di sana.

"Alhamdulillahlah, walaupun saya sibuk dengan persiapan perkahwinan yang akan berlangsung pada 1 Julai depan, kami sempat mengejar masa untuk menyiapkan lagu ini serta klip videonya sekali dalam masa yang singkat.

"Semoga peminat-peminat terhibur dengan klip video kami di mana penggambaran telah pun dirakamkan pada awal bulan ini di Miami selama tiga hari," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain