suria

Ali Hasilkan Single Selepas Serik Jadi Artis Berkumpulan

Ali Mahu Terus menyanyi Sehingga Akhir Hayat. Foto - SAUFI NADZRI
Ali Mahu Terus menyanyi Sehingga Akhir Hayat. Foto - SAUFI NADZRI
Ali Mahu Terus menyanyi Sehingga Akhir Hayat. Foto - SAUFI NADZRI

PETALING JAYA: Selepas keluar daripada kumpulan M'Pire tiga tahun lepas, bekas vokalis itu, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail,42, membuat kemunculan semula dengan sebuah single terbaru, iaitu Sepi Rindu.

Ali yang juga bekas kumpulan Terra Rossa dan XPDC itu berkata, lagu yang dicipta oleh Yuzair dan ditulis oleh Alzair itu sebagai langkah pertamanya untuk bergelar seorang penyanyi solo.

"Sudah lebih daripada 20 tahun saya terlibat dalam industri muzik tempatan dan pengalaman membuatkan saya agak serik dengan karenah orang apabila menjadi penyanyi berkumpulan.

"Justeru itu, Sepi Rindu adalah percubaan pertama saya dalam pasaran muzik tempatan dan jika ia mendapat sambutan, saya akan teruskan dengan penghasilan lagu-lagu baru pula," katanya.

Bagaimanapun, dengan kemunculan penyanyi-penyanyi baru yang semakin ramai, Ali tidak mengharapkan populariti seperti yang pernah diraihnya ketika bersama dengan Terra Rossa dan XPDC sebelum ini.

Cuma Ali mahu peminat-peminatnya tahu bahawa dia masih lagi wujud dalam dunia muzik dan akan terus menyanyi sehingga akhir hayat.

"Memanglah, tak mungkin bagi saya boleh rasa populariti seperti zaman kegemilangan saya bersama teman-teman kumpulan dahulu. Lagipun saya dah tua.

"Bagaimanapun, kehadiran penyanyi-penyanyi muda sekarang ini membuatkan saya juga mahu belajar daripada mereka yang pasti mempunyai idea-idea segar," tuturnya yang kekal dengan imej muzik rock balada.

Dalam pada itu, Ali yang kini bernaung di bawah pengurusan Life Records itu turut bercadang untuk berduet menerusi sebuah lagu baru dengan mana-mana penyanyi yang sesuai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain