suria

Shira Bukan Tamak Bolot Tawaran Kerja

Sharifah Shahirah
Sharifah Shahirah
Sharifah Shahirah

PETALING JAYA: Pengacara, pelakon dan penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah atau Shira mengakui bukan bersikap tamak apabila menerima banyak tawan kerja yang diberikan sebaliknya kerana mempunyai perasaan ‘tidak sampai hati’.

Shira berkata, tawaran yang diterima terutamanya sebagai pengacara majlis adalah daripada rakan-rakannya dan mustahil dia mahu menolak permintaan mereka.

“Jadual saya memang sangat padat terutamanya tawaran menjadi pengacara majlis. Kadang-kala bukan sebab saya tamak untuk ambil semua tawaran tersebut tetapi sebenarnya saya tidak sampai hati untuk menolak.

“Kebanyakan dari tawaran kerja datang dari rakan-rakan baik sendiri yang minta tolong. Saya pula jenis yang tidak berkira tentang bayaran sebaliknya hubungan persahabatan itu yang lebih penting.

“Tetapi yang jadi masalah kepada saya kerana tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga sendiri kerana sibuk dengan majlis orang lain,” ujarnya.

Tambah Shira, disebabkan kesibukan tersebut juga, dia akui sukar untuk membahagikan masa bersama keluarga dan anak-anak.

“Saya tiada pengurus jadi perjalanan kerja, saya urus sendiri. Memang susah nak bahagikan masa. Waktu malam sahaja masa yang ada bersama mereka.

“Anak-anak saya juga selalu merungut sampai mereka buat mogok tanggalkan baju kerana merajuk sebab selalu kena tinggal dengan saya,” katanya yang kini banyak menolak tawaran berlakon drama.

Sementara itu, ketika diminta komen tentang peningkatan pendengar Suria FM sedikit sebanyak berpunca daripadanya, Shira menganggap ia sebagai satu tanggungjawab.

“Saya diambil bekerja di Suria FM untuk membantu stesen radio itu dan jika ia berjaya saya tumpang seronok.

“Memang sebenarnya persaingan pada slot pagi adalah daripada rakan-rakan saya sendiri, tapi bagi saya itu adalah cabarannya,” kata Shira.

Selain itu, sejak empat bulan menjadi deejay radio, Shira memberitahu dia mendapat satu kepuasan yang berlainan daripada bidang lain yang pernah dilakukannya.

“Saya rasa lebih rapat dengan peminat, kita berinteraksi setiap hari. Jika sehari tidak bekerja mereka sudah bertanyakan tentang kita.

“Apa yang penting bagi saya ialah jadi diri sendiri dan bekerja secara ikhlas,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain