suria

TV Alhijrah Janji Rancangan Lebih Menarik

Datuk Seri Jamil Khir ditemubual dalam program khas Segalanya Bermula Di Sini.
Datuk Seri Jamil Khir ditemubual dalam program khas Segalanya Bermula Di Sini.
Datuk Seri Jamil Khir ditemubual dalam program khas Segalanya Bermula Di Sini.

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen TV Alhijrah akan menjanjikan rancangan bercorak keislaman yang lebih menyeluruh menarik setelah siaran televisyen itu dapat diikuti menerusi saluran Astro (saluran 114) bermula Rabu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata stesen tersebut telah bersedia menyajikan kandungan menarik yang mampu mendidik masyarakat.

“Selama enam bulan lalu siaran TV AlHijrah begitu terhad siarannya kepada beberapa buah negeri sahaja kerana terdapat beberapa masalah teknikal. Jadi, kami mengambil langkah memasukkan siaran TV AlHijrah ke dalam Astro.

“Mulai 1 Jun ini (semalam) ia boleh ditonton melalui saluran 114 Astro, di mana pelbagai kandungan menarik telah disediakan untuk tontonan setiap lapisan masyarakat,” katanya di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam, Rabu.

Beliau berkata, TV Hijrah juga menyalurkan program keagamaan yang lebih menarik dan kreatif.

“Kita tidak mahu tertumpu kepada program seperti yang kebiasaan kita dengar. Tetapi lebih kepada pendekatan terkini dan menarik yang mana bukan sahaja untuk umat Islam tetapi juga bukan Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Jamil Khir, pihaknya sedang berbincang bagi membolehkan lebih banyak pemancar dipasang di negeri-negeri yang masih belum mendapat liputan.

"Kita sedang mempercepat proses pemasangan pemancar. Apa yang menjadi halangan kita ialah tentang spektrum atau saluran yang begitu terhad di negeri-negeri yang memerlukan pemancar," katanya.

TV AlHijrah telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Disember lepas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda berkata pelbagai program menarik dan drama terbaru bakal disiarkan sepanjang bulan ini.

“Kita telah menyediakan pelbagai program berbentuk majalah dan drama-drama menarik seperti Kitab Cinta dan Alauddin.

“Manakala beberapa program yang telah disiarkan sepanjang enam bulan lepas juga bakal diulang siar sekali lagi,” katanya.

Selepas boleh diikuti menerusi saluran Astro, stesen televisyen itu memanjangkan tempoh siarannya iaitu daripada 72 jam kepada 100 jam seminggu.

Siaran pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad akan bermula dari pukul 7 pagi sehingga 12 tengah malam sementara Isnin hingga Khamis bermula 12 tengah hari dan berakhir pada waktu yang sama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain