suria

Shiela Majid Lupakan Hasrat Buat Konsert 25 Tahun

Shiela Majid
Shiela Majid
Shiela Majid

SHAH ALAM: Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid terpaksa melupakan hasrat untuk melakukan konsert ulang tahun ke 25 penglibatannya sebagai anak seni berikutan tiada penaja yang sanggup menaja konsert tersebut.

Katanya, biarpun berasa terkilan, dia sedar bukan mudah untuk mendapatkan tajaan bagi konsert yang berskala besar sebegitu.

"Sepatutnya akhir tahun ini saya berhasrat untuk mengadakan konsert ulang tahun ke 25 sebagai anak seni tetapi masalah utama adalah dari segi penajaan.

"Saya sudah lakukan bahagian saya dan sudah lama menunggu, namun tiada sebarang respons positif dari mana-mana pihak. Hingga akhirnya ia terpaksa dilupakan.

"Tapi saya berpuas hati kerana sudah melakukannya di negara jiran, Indonesia dan Singapura awal tahun lalu," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya dia bersyukur dapat meraikan peminatnya ketika melakukan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas Oktober tahun lalu.

"Alhamdulillah, walaupun tidak dapat melakukan konsert tersebut, saya bersyukur dapat meraikan peminat saya di Dewan Filharmonik Petronas tahun lalu dan beberapa persembahan yang diadakan tahun ini.

"Bagi menebus kekecewaan tersebut juga saya akan mengeluarkan album yang mengandungi lagu-lagu yang saya nyanyikan ketika di Dewan Filharmonik Petronas pada pertengahan bulan ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau kini sibuk menguruskan produk kecantikan Jerneh yang sudah dipasarkan di beberapa buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Selangor.

"Sekarang saya banyak menumpukan perhatian dalam mengembangkan produk kecantikan saya, biarpun bergerak secara perlahan tetapi yang penting adalah kualiti.

"Buat masa ini kita sudah ada pengedar di beberapa buah negeri, malah boleh juga membuat tempahan secara dalam talian," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain