suria

Liyana & Fizz Bak Adik Beradik, Almy Enggan Komen

Mesej twitter yang dihantar oleh Liyana kepada Fizz.
Mesej twitter yang dihantar oleh Liyana kepada Fizz.
Mesej twitter yang dihantar oleh Liyana kepada Fizz.

PETALING JAYA: Hubungan pelakon Liyana Jasmay dengan Fizz Fairuz hanyalah ibarat seperti abang dan adik dan tidak lebih daripada itu.

Ibu pelakon wanita tersebut, Habsah Simpon, 54, berkata, anaknya dan Fizz memang suka bergurau dan tidak mustahil mereka menghantar mesej di Twitter menggambarkan seperti mereka sedang berkasih.

“Saya tidak rasa mereka bercinta. Mereka seperti adik dan abang sahaja. Lagipun mereka memang suka bergurau,” katanya.

Habsah diminta mengulas kononnya Liyana sedang bercinta dengan Fizz apabila mereka dilihat membalas mesej seperti yang dilakukan oleh pasangan kekasih termasuklah memanggil dengan perkataan “b” iaitu singkatan kepada “babby”.

Sementara itu, kekasih Fizz, pelakon Almy Nadia pula tidak dapat memberikan apa-apa reaksi kerana masalah itu hanya melibatkan Fizz dan juga Liyana Jasmay.

“Saya rasa terkelu lidah dan tidak tahu macam mana nak jawab setiap soalan yang diberikan tentang hubungan kami pada saat ini dan lebih baik soalan itu ditanya kepada Fizz sendiri.

“Sebagai wanita, saya tak nak terlibat dalam kancah hubungan cinta tiga segi dan memang tak boleh nak berikan jawapan kerana bukan saya yang menjadi penyebabnya. Saya minta maaf banyak-banyak,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Anak sulung daripada empat beradik ini lebih banyak sibuk dengan kerjaya lakonannya dan hanya memikirkan untuk mencari pendapatan bagi menampung tanggungan diri dan keluarga.

“Tentang hubungan mana-mana wanita dengan Fizz, jangan kaitkan dengan saya sebab saya tak tahu apa-apa langsung.

“Saya juga tidak tahu untuk memberikan jawapan tentang status hubungan kami kerana setelah berlaku perkara seperti ini, saya tidak mahu dikatakan perigi mencari timba dan ia boleh menjatuhkan maruah saya,” katanya apabila ditanya tentang status hubungannya dengan pelakon filem Nur Kasih The Movie itu.

Selain Liyana Jasmay, Fizz dikatakan turut menjalin hubungan istimewa dengan pelakon Izreen Azminda yang didakwa menjadi penyebab hubungan Almy dan lelaki itu renggang.

Izreen bagaimanapun menjelaskan hubungannya dengan Fizz sekadar kawan biasa.

Artikel Lain